Muhaamad Hafis Nawawi dan Suhanna Iskandar


Sungai Buloh: Kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia malam tadi di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini disahkan mati dibunuh.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan bunuh selepas proses bedah siasat ke atas Zayn Rayyan mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan.

Hussein berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak terbabit mendapati ada unsur jenayah.

"Terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilaporkan berkata, sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.

Katanya, sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya itu secara tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

ISMANIRA berkongsi luahan perasaannya.
ISMANIRA berkongsi luahan perasaannya.

"Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah kerana saya perlu memasak serta menyiapkannya untuk dihantar ke rumah pengasuh.

"Ketika menaiki tangga, saya memegang barang basah yang baru dibeli dan beg sekolah sementara Zayn menuruti saya dari belakang.

"Namun selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada," katanya.

Mayat Zayn ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Penemuan kanak-kanak berkenaan susulan Op Tutup rumah ke rumah dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang bermula jam 9 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 4:48 PM