ISMANIRA, gambar fail. FOTO Ihsan Pembaca
ISMANIRA, gambar fail. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara pihak terawal yang tampil memberi bantuan kaunseling kepada ibu kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ketika anaknya dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.

Jurucakap JKM berkata, pihaknya menerusi JKM Selangor memberikan bantuan itu sebaik menerima maklumat mengenai kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan.

"Apabila berita kehilangan Zayn Rayyan tular di media sosial, kita ambil pendekatan di peringkat awal dengan membawa kaunselor untuk berjumpa dengan ibu kanak-kanak terbabit, Ismanira Abdul Manaf (28).

"Ketika itu, kita menggalakkan supaya ibu Zayn Rayyan membuat laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak berkenaan selain memberikan kaunseling," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, apabila mayat Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor pada 6 Disember lalu, polis menasihatkan supaya bantuan kaunseling ditangguhkan sementara siasatan dijalankan.

"Memandangkan kejadian itu sudah menjadi kes polis, kita mengikut saranan mereka supaya ditangguhkan sementara bantuan kaunseling bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira 10 malam 6 Disember lalu selepas dilaporkan hilang lebih 30 jam.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Setakat ini, polis belum menemui petunjuk kukuh bagi mencari pembunuh Zayn Rayyan dengan operasi mencari bukti masih diteruskan di sekitar Apartmen Idaman dan tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 12:47 PM