GAMBAR kenangan Zahari Mohd Reba dan cucunya, Zayn Rayyan Abdul Matin.FOTO Ihsan Zahari Mohd Reba
GAMBAR kenangan Zahari Mohd Reba dan cucunya, Zayn Rayyan Abdul Matin.FOTO Ihsan Zahari Mohd Reba
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Tawaran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor untuk memberi ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang membantu polis sehingga suspek pembunuh Zayn Rayyan Abdul Matin ditangkap disambut baik datuk kepada kanak-kanak itu, Zahari Mohd Reba.

Zahari, 56, berkata, nilai ganjaran itu agak besar dan diharap menjadi galakan kepada individu yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Menurutnya, tawaran itu juga baik kerana dapat membantu keluarganya untuk menuntut keadilan buat Zayn Rayyan.

"Mulanya saya tak tahu menahu mengenai ganjaran itu kerana tak dihubungi oleh pihak berkenaan (MCPF).

"Saya hanya tahu selepas terbaca artikel mengenainya di web Harian Metro.

"Bagi saya, ia (inisiatif) yang bagus kerana beri galakan mereka yang berhajat (mahu ganjaran) untuk tampil, cuma mungkin nanti polis tak menang tangan layan pemberi maklumat," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Berkongsi ikhtiar dilakukan bagi menjejaki pelaku, Zahari berkata, keluarganya ada mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam yang bertujuan untuk mendapatkan petunjuk.

"Berdasarkan petunjuk diperoleh, kami maklumkan kepada pihak polis untuk ke lokasi tertentu namun belum berhasil membawa kepada penemuan suspek.

"Pada masa sama, ada juga dapat panggilan daripada empat ke lima orang bomoh namun kami abaikan kerana mahu beri tumpuan kepada perkembangan daripada pihak polis.

"Buat masa ini, kami sekeluarga serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan lanjut," katanya.

Terdahulu, dilaporkan MCPF Selangor menawarkan ganjaran wang tunai sebagai usaha membantu PDRM menyelesaikan kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Timbalan Pengerusi MCPF Selangor Datuk Seri A Thaiveegan dipetik berkata, ganjaran dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu di Damansara Damai di sini, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Pangsapuri Idaman pada keesokannya.

Bagaimanapun siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 3:50 PM