APARTMEN Idaman, Damansara Damai. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
APARTMEN Idaman, Damansara Damai. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Petaling Jaya: Jika dahulu perkarangan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini khususnya kawasan taman permainan, pastinya meriah dan riuh-rendah dengan suara kanak-kanak apabila musim cuti sekolah tetapi kini ia menjadi sunyi sepi sejak timbul kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, 5 Disember lalu.

Tinjauan Bernama mendapati bukan sahaja kawasan taman permainan, tempat parkir kenderaan, kaki lima dan anak tangga di semua blok di sini kelihatan lengang, tidak seperti kebiasaannya yang meriah dengan kelibat kanak-kanak kanak-kanak bermain di situ.

Menurut salah seorang penduduk di sini yang juga penolong perubatan di klinik berdekatan, Wan Hakim Abdul Aziz, 28, kebanyakan ibu bapa tidak lagi membenarkan anak-anak mereka bermain di luar rumah sejak insiden tragis itu berlaku.

"Semua blok sekarang sunyi, tapi yang paling sunyi blok ini (blok R) sebab di sini biasanya paling meriah," katanya.

Sementara itu, pengasuh, Rahmah Resap, 52, berkata sejak berlakunya kejadian yang menimpa adik Zayn Rayyan, sudah tiada kanak-kanak yang melepak sampai malam di apartmen ini serta tiada juga kanak-kanak yang bermain buaian di taman permainan.

"Selain itu, saya perasan jika ibu bapa membawa anak mereka ke kedai berhampiran, mereka akan pastikan anak mereka berjalan di hadapan. Kalau dulu, tidak kesah pun anak berjalan di belakang," katanya.

Berkongsi pandangan sama, penduduk di blok bertentangan lokasi kejadian Mohd Helmi Abdullah ,59, berkata sebelum ini apabila tiba musim cuti sekolah, memang taman permainan ini menjadi tumpuan kanak-kanak di sini.

"Sunyi, sekarang tak ada siapa yang bagi anak keluar, sebelum ini kalau cuti sekolah meriah dengan kanak-kanak bermain," katanya.

Penyiasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang memasuki hari ke-12 hari ini berjalan seperti biasa dengan kehadiran sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 12.45 tengah hari.

Pihak polis juga dilihat beredar keluar dari lokasi kejadian kira-kira pada 12.20 tengah hari, dua jam selepas meneruskan proses penyiasatan di lokasi kejadian.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartmen Idaman, pada keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 6:12 PM