AKSI antara Perak dan Sabah dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Perak dan Sabah dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Peluang Sabah FC untuk mengakhiri saingan Liga Super di tempat ketiga semakin cerah selepas berjaya menumpaskan Perak FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee perlu menunggu di saat akhir untuk mengesahkan tiga mata penting milik mereka selepas beberapa serangan yang dilakukan sejak awal babak pertama gagal diterjemahkan dengan gol.

Malah, separuh masa pertama menyaksikan Sabah sering melakukan serangan berbahaya dengan peluang terhidang menerusi penyerang berbisa Ramon Machado seawal minit ke 10 namun tersasar jauh daripada gawang lawan.

Kelincahan Saddil Ramdani juga hampir memecah kebuntuan gol ketika perlawanan berbaki 10 minit sebelum separuh masa pertama tamat namun penyudah yang lemah sekali gus menyelamat gawang Perak daripada dibolosi.

Memasuki babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperlahankan rentak permainan apabila dengan kurang serangan berbahaya dilancarkan bagi mencari gol pembukaan.

Peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol hadir pada minit 61 menerusi penyerang Sabah, Jafri Chew namun sepakannya berjaya ditepis penjaga gol Perak, T Shaheeswaran.

Sabah yang gemar bermain bola lambung akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi Park Taesu ketika perlawanan berbaki lima minit sebelum tamat.

Kedudukan 0-1 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Sabah kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan 51 mata manakala Kedah Darul Aman FC di tempat ketiga selepas mengumpul 53 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:27 PM