IKAN bandar raya sudah memenuhi kebanyakan sungai di Lembah Klang. FOTO Amirudin Sahib
IKAN bandar raya sudah memenuhi kebanyakan sungai di Lembah Klang. FOTO Amirudin Sahib
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Tanpa kawalan dan usaha membasmi ikan asing atau pendatang secara berterusan di perairan darat, tidak mustahil dalam tempoh 15 hingga 20 tahun sumber perikanan darat atau ikan asli terus berkurangan dan dikhuatiri pupus.

Pensyarah Kanan Bidang Ekologi dan Penyakit Ikan, Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohammad Noor Amal Azmai berkata, ketika ini boleh dikatakan kebanyakan perairan negara sudah 'ditakluki' ikan asing yang semakin membiak dengan berleluasa terutama kawasan berpenduduk padat seperti Lembah Klang yang boleh dikatakan serius.

Menurutnya, Malaysia mempunyai keunikan dan kepelbagaian biodiversiti dengan memiliki hampir 470 spesies ikan asli di seluruh negara, namun ketika ini terdedah dengan ancaman kemusnahan habitat, pencemaran dan kehadiran ikan asing.

"Dalam tempoh 10 tahun, kita lihat berlaku penurunan sumber ikan asli yang sangat ketara selain daripada tiga faktor itu, ia juga berlaku kerana penuaian berlebihan yang tidak dikawal, contohnya pesta ikan loma apabila ramai yang tangkap ikan bersama jutaan telurnya.

"Ikan asli kita masih ada cuma berkurangan dan ada juga yang sangat sukar ditemui. Penyusutan sumber bukan saja ikan yang boleh dimakan, tetapi turut membabitkan ikan hiasan dan asli bersaiz kecil yang dianggarkan tiga hingga lima spesies ikan laga kita hampir pupus kerana habitatnya di paya gambut musnah," katanya.

Katanya, antara populasi spesies asli semakin berkurangan seperti arowana, temoleh, kelah, patin liar dan tapah di perairan sungai utama Semenanjung negara.

"Boleh kata ikan asing ada di kebanyakan perairan darat yang bezanya adalah populasinya banyak atau sikit saja. Ikan asing yang 'popular' seperti tilapia, keli Afrika, bandar raya, patin Siam, baung ekor merah dan 'peacock bass'.

"Kajian dilakukan pada 2021 menunjukkan sungai di Lembah Klang sudah ditakluki ikan asing seperti ikan bandar raya dan tilapia. Di Sungai Pusu 57 peratus ekosistemnya ikan asing, Gombak (40 peratus), Sungai Langat (50 peratus), Sungai Klang (33 peratus) dan Semenyih (14 peratus)," katanya.

Menurutnya, spesies ikan asing mampu mendominasi ekosistem tempatan sekali gus memberi ancaman dan kesan negatif terhadap ekologi sistem akuatik tempatan.

Katanya, spesies pendatang itu mampu menakluk habitat baru kerana mampu hidup dalam kualiti air kotor, membiak dengan cepat, kurang pemangsa dan boleh memakan pelbagai jenis makanan termasuk telur dan benih ikan.

"Ikan asing sifatnya boleh hidup dalam kualiti air teruk, cepat membesar dan membiak contohnya ikan tilapia, keli Afrika dan baung ekor merah sangat agresif dan kalau terlepas dalam perairan sungai ia boleh menjejaskan sumber ikan asli.

"Kajian dilakukan di Sungai Pusu, Gombak juga menunjukkan kemungkinan berlaku hibridisasi antara beberapa spesies ikan bandar raya yang mana ia boleh menjadi semakin parah dengan kehadiran spesis hibrid baru yang akan memenuhi perairan kita," katanya.

Beliau berkata, ikan asing yang berada di perairan kotor seperti ikan bandar raya dinasihatkan tidak dimakan untuk mengelak sebarang penyakit bawaan bakteria kerana spesies berkenaan hidup di perairan yang tidak bersih.

"Ikan asing mengumpul logam berat (di kawasan kotor) yang mana logam terkumpul dalam badan ikan dan dimakan manusia. Kalau dimasak dengan cara yang tidak betul atau tidak masak sepenuhnya dikhuatiri menyebabkan penyakit bawaan bakteria," katanya menyarankan ikan asing dituai dijadikan makanan ikan atau baja pertanian.

Katanya, populasi ikan asing perlu segera ditangani dan perlu ada mekanisme untuk mengawal kehadiran spesies itu supaya tidak merosakkan ekosistem biarpun ia menjana pendapatan kepada ramai penternak ikan.

"Sumber perikanan asli kita perlu dilestarikan dan kualiti serta rasanya juga setanding dengan ikan asing yang banyak dibawa masuk untuk tujuan akuakultur komersial, termasuk untuk ikan hiasan yang juga cantik.

"Atau diternak menggunakan teknik 'monosex' iaitu teknik yang membela ikan jantan saja supaya ia tidak membiak dan sekiranya terlepas ke perairan umum ia tidak akan membiak, tetapi apa pun ikan asing merosakkan ekosistem perlu ditangani supaya sumber kita kekal terpelihara," katanya.

'Susah nak dapat ikan tembakang'

Zaman kegemilangan ikan asli atau ikan air tawar terutama di sungai sekitar Perak dan Lembah Klang boleh dianggap semakin 'malap' apabila spesies berkenaan semakin sukar ditemui ketika ini, malah ada antaranya sudah tidak pernah 'dilihat' sejak lebih 10 tahun lalu.

Tidak keterlaluan juga jika boleh dikatakan spesies ikan asli seperti loma, lais, temoleh, tembakang, tengalan, terbul dan ketutu tidak dikenali terutama generasi muda ketika ini yang rata-rata tidak pernah merasai atau melihat ikan itu.

Di Perak terutama di kawasan perairan sekitar Sungai Kinta, Sungai Tumboh dan kawasan bekas lombong sekitar Kampung Sungai Galah yang dulu popular dengan ikan loma dan lais kini dua spesies berkenaan sudah tidak pernah ditemui.

Manakala ikan tembakang, selat, tengalan, temoleh, lampam dan baung juga semakin sukar ditemui yang mana punca ia berlaku atas beberapa faktor seperti kemusnahan habitat, pencemaran dan penerokaan serta paling 'mencuri' tumpuan ketika ini ialah ancaman kehadiran ikan asing atau 'alien'.

Kehadiran ikan asing seperti keli Afrika, tilapia, bandar raya, baung ekor merah dan jelawat ekor merah yang digelar 'predator' kerana memakan hidupan yang ada di dasar sungai termasuk telur dan benih ikan sekali gus mengancam ekosistem asli.

Pengerusi Persatuan Perikanan Air Tawar Sungai Galah Kampung Gajah, Perak (Peniat), Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, kehadiran ikan 'alien' lebih 10 tahun lalu antara punca spesies asli semakin berkurangan di Sungai Perak iaitu di kawasan Sungai Galah, Kampung Gajah selain aktiviti perlombongan.

"Boleh dikatakan banyak spesies ikan asli yang sinonim dengan Sungai Perak di kawasan kami semakin pupus (berkurangan) seperti ikan temakang, tenggalan, temoleh dan udang, malah lampam dan baung juga sukar diperoleh. Semua ikan ada tapi sudah tidak banyak.

"Zaman kegemilangan ikan asli sudah tidak meriah dan kalau dulu nelayan boleh dapat 20 hingga 30 kilogram (kg) ikan tembakang tetapi sekarang nak dapat tiga kg pun susah dan paling ketara musim ikan selat dulu boleh dapat 70 hingga 80kg tetapi sekarang nak jumpa seekor pun susah.

"Dulu bila tiba musim ikan darat, nelayan boleh dapat lebih RM2,500 sebulan sekarang RM1,500 pun susah dan ketika ini turun ke sungai hanya mampu dapat hasil RM20 hingga RM30 sehari yang jauh berbeza sebelum ini RM80 hingga RM100," katanya.

DR Mohammad Noor Amal berada dimakmal mengenai kajian ikan tempatan hampir pupus di perairan Negara di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia. FOTO Amirudin Sahib
DR Mohammad Noor Amal berada dimakmal mengenai kajian ikan tempatan hampir pupus di perairan Negara di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia. FOTO Amirudin Sahib

Kuasa melarang di bawah kerajaan negeri

Peraturan akuakultur bagi melarang atau mengambil tindakan terhadap individu yang menternak dan melepaskan ikan asing dalam perairan air tawar seperti sungai tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ketika ini pihaknya menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb. Bagi Ikan) 1990 dan (pindaan) 2011 yang dibuat di bawah Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, kebanyakan ikan asing dibawa masuk ke negara untuk dijadikan sebagai ikan hiasan seperti ikan raja yang kemudiannya ditempatkan di kolam pancing sebelum ia terlepas ke perairan umum, selain baung ekor merah yang bersifat invasif tetapi mempunyai nilai ekonomi.

"Bagaimanapun jika populasinya tidak dikawal dan terlepas ke perairan umum ia akan menjadi dominan dan menjadi salah satu ancaman kepada ekosistem. Buat masa ini kita ambil langkah memastikan ikan ini tidak dibawa masuk tanpa kelulusan Jabatan Perikanan dan permit Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

"Kita perlu membuat kajian yang lebih teliti supaya ia tidak menjejaskan aktiviti ekonomi yang sedang berlangsung tetapi penting untuk pihak berkenaan mengawal ternakan dan tidak terlepas ke perairan umum," katanya.

Beliau mengulas mengenai pendapat pencinta ikan air tawar yang menyarankan kerajaan menggubal peraturan yang lebih spesifik iaitu larangan membela ikan import terutama dalam sangkar di perairan umum utama negara dalam usaha bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku sangkar pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 10:00 AM