Saarani (dua, kanan) melepaskan benih ikan ke perairan pada majlis Penyerahan Jeti Nelayan Darat Kampung Luat. FOTO BERNAMA
Saarani (dua, kanan) melepaskan benih ikan ke perairan pada majlis Penyerahan Jeti Nelayan Darat Kampung Luat. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Lenggong: Sebanyak 172,500 benih ikan dan udang bernilai RM57,310 dilepaskan ke perairan Sungai Perak di jeti nelayan Kampung Luat, di sini bagi menambah stok perikanan dan memperkayakan sumber ikan asli.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata antara benih ikan itu ialah 15,000 lampam, baung (12,500), terbul (50,000), kerai dan temoleh masing-masing 1,000 selain 93,000 ekor udang galah.

"Pelepasan benih ikan di perairan umum bertujuan memperkaya dan mengekalkan sumber perikanan di sungai serta memulihara khazanah warisan sungai.

"Jika sungai dipulihara dengan baik, maka ia mampu meningkatkan hasil pendapatan dan nilai sara diri termasuk kepada lebih 3,000 nelayan darat di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Majlis Penyerahan Jeti Nelayan Darat Kampung Luat dan Program Pelepasan Benih Ikan Di Perairan Umum Serentak Seluruh Malaysia 2023 Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Saarani berkata setiap tahun, lebih dua juta ekor benih ikan dan udang pelbagai spesies bernilai lebih RM500,000 dilepaskan di perairan sungai di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata program hari ini amat penting dengan mengambil kira masalah pencemaran spesies ikan asing invasif yang dilaporkan sangat membimbangkan kebelakangan ini, selain peningkatan jumlah ikan asing invasif yang mengancam ekosistem semula jadi perairan sungai termasuk di Perak.

Menurut Saarani antara spesies ikan asing invasif yang biasa dijumpai di perairan Perak ialah placo atau bandaraya, 'peacock bass' dan udang kara air tawar.

"Spesies ikan asing invasif ini mengancam populasi ikan asli kerana bersifat traumategenik, kewilayahan, mudah membiak dan bersifat pemangsa," katanya.

Beliau berkata justeru, Jabatan Perikanan Negeri Perak mengambil inisiatif mengadakan pameran berkaitan spesies ikan asing yang terdapat di sungai dan tasik di negeri ini untuk memberi pendedahan kepada orang awam dan nelayan tempatan mengenai kesan negatif kehadiran spesies ikan asing ini di perairan negara.

Berkaitan pembinaan jeti nelayan berkenaan, Saarani berkata ia jalan penyelesaian kepada rintihan masyarakat dan nelayan tempatan terhadap ketiadaan kemudahan jeti pendaratan ikan yang selesa dan selamat serta kemudahan menambat bot mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 12:15 PM