LOKMAN Hakim bersama Adnan dan tetamu yang hadir melepaskan benih ikan di Tapak Jeti Monumen Alaf Baru Tasik Putrajaya, Presint 2. FOTO Amirudin Sahib.
LOKMAN Hakim bersama Adnan dan tetamu yang hadir melepaskan benih ikan di Tapak Jeti Monumen Alaf Baru Tasik Putrajaya, Presint 2. FOTO Amirudin Sahib.
Noor Hidayah Tanzizi


Putrajaya: Jabatan Perikanan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) selepas melepaskan sebanyak 1.1 juta benih ikan asli di seluruh negara secara serentak, hari ini.

Pengiktirafan itu diberikan wakil MBOR bagi kategori pelepasan benih ikan serentak terbanyak di Tasik Putrajaya, di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pelepasan benih ikan asli membabitkan ikan kelah, lampam sungai, temoleh, terbul dan udang galah dilakukan di 15 perairan negara meliputi Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

"Di Labuan tiada ikan air tawar jadi kita lepaskan ikan marin iaitu ikan siakap di perairan umumnya dan di Putrajaya kita lepaskan sebanyak 80,200 benih ikan baung, lampan sungai, beberapa induk ikan termasuk ikan temalian dan kelah.

"Program ini bukan saja meningkatkan bekalan dan populasi ikan di negara kita tetapi turut bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya melepaskan ikan berdasarkan spesis yang ditentukan oleh jabatan.

"Jangan melepaskan spesis ikan asing yang boleh membahayakan ekosistem kita.

"Ia juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama memelihara sumber ikan asli bagi membolehkan ekosistem sentiasa berada dalam sihat dan generasi akan datang juga boleh menikmati hasil ikan asli," katanya ditemui selepas program berkenaan, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Adnan berkata, secara purata sebanyak lima juta anak benih ikan asli dilepaskan setiap tahun di perairan seluruh negara bagi menambah bekalan perikanan sekali gus memulihara kepelbagaian biodiversiti negara.

Katanya, usaha berkenaan giat dilakukan pihaknya melalui program pelepasan benih ikan sebagai usaha menguruskan sumber perikanan darat negara.

"Biasanya kita melepaskan ikan secara puratanya lebih kurang lima juta (benih) dalam setahun di seluruh negara secara berperingkat. Hari ini adalah pelepasan serentak yang dilaksanakan sebagai acara pelepasan akhir untuk tahun ini.

"Tahun ini secara keseluruhannya sudah hampir lima juta anak benih dilepaskan termasuk (program) hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Adnan mengingatkan masyarakat supaya tidak menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bom ikan sama ada di perairan air tawar seperti sungai dan tasik atau perairan laut kerana ia bukan saja memusnahkan ekosistem, malah membahayakan diri dan persekitaran setempat.

Katanya, akhir-akhir ini aktiviti berkenaan sedikit terkawal dan aduannya semakin berkurangan, namun pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan dalam usaha mencegah aktiviti berkenaan dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan supaya tindakan pantas dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:16 PM