Kakitangan Jabatan Perikanan melakukan pemantauan di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor susulan video tular pelepasan ikan pemangsa (invasif) baru-baru ini. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN
Kakitangan Jabatan Perikanan melakukan pemantauan di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor susulan video tular pelepasan ikan pemangsa (invasif) baru-baru ini. FOTO IHSAN JABATAN PERIKANAN
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Lepaskan anak atau ikan pemangsa (invasif) untuk tujuan ritual keagamaan dan membayar nazar.

Itu tindakan pihak tidak bertanggungjawab di Sungai Hulu Bernam, Hulu Selangor yang dikesan Jabatan Perikanan (DOF) apabila video mengenainya tular, baru-baru ini.

Kalau sebelumnya, ikan invasif dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela dalam akuarium, namun kemudian dilepaskan segelintir individu ke sistem saliran tempatan apabila tidak lagi mampu mengendalikannya.

Antara spesis asing ini seperti baung ekor merah, peacock bass dan pacu mempunyai keupayaan membiak serta boleh membesar dengan cepat dan terus berkembang.

Sebahagian daripadanya juga boleh bertahan dalam keadaan air yang tercemar seperti ikan keli afrika dan ikan bandar raya (ikan pleco).

Pengarah Perikanan Selangor Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya tidak pernah melarang atau menyekat sesiapa untuk melakukan upacara nazar namun dengan syarat tidak melepaskan ikan invasif ke perairan umum.

Justeru tegasnya, orang awam perlu cakna dan tidak mengambil mudah akan pencerobohan ini atas apa sahaja alasan termasuk keagamaan, sosial dan masalah untuk memeliharanya.

"Semua pihak yang berhasrat melepaskan ikan ke perairan umum, dimohon untuk mendapatkan khidmat nasihat dari Pejabat Perikanan Daerah yang terdekat.

"Ini kerana dari hasil program inventori yang dijalankan serta maklum balas dari nelayan darat mendapati beberapa sungai utama negeri ini kini dikesan menjadi habitat ikan pemangsa antaranya Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam serta di beberapa tasik juga kolam takungan.

"Spesis ini mula mengancam populasi ikan asli tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tenggalan, kerai, terbul, sebarau, baung serta udang galah yang selama ini mendiami perairan tersebut," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sehubungan itu, Noraisyah berkata, DOF sangat menggalakkan pelepasan ikan seperti lampam asli, udang galah, baung dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 2:47 PM