IKAN patin high fin yang banyak ditemui di Sungai Pahang.
IKAN patin high fin yang banyak ditemui di Sungai Pahang.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Putrajaya: Tidak mustahil suatu hari nanti pelbagai spesies ikan terkenal tempatan seperti ikan temoleh, kelisa, toman bunga, kelah, sebarau, haruan, kaloi, jelawat dan ratusan spesies lain bakal pupus serta tinggal nama di muzium akuakultur.

Ia susulan penyebaran pelbagai ikan asing berbahaya dari pelbagai benua yang dikesan semakin menguasai perairan negara.

Kebimbangan ini berasas apabila Jabatan Perikanan Malaysia menerima banyak maklumat dari pelbagai saluran media dan aduan awam mengenai kehadiran spesies ikan asing yang terdapat di negara ini.

Spesies ikan asing berbahaya yang biasa dijumpai di perairan umum di negara ini ialah patin siam (Pangasianodon hypophthalmus), ikan bandaraya (Hypostomus plecostomus), peacock bass (Cichla spp) dan udang kara air tawar (Cherax spp dan Procambrus spp).

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan muncul monster spesies IAS yang boleh menjangkau ke saiz gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia (Phractocephalus hemioliopterus) dan patin high fin (Neoarius berneyi).

Jurucakap Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perikanan Malaysia berkata, dua spesies ikan asing ini bersifat pemangsa dan memakan ikan tempatan.

"Pada awalnya ikan asing ini dibawa masuk melalui pintu sempadan negara secara sah sebagai ikan untuk tujuan rekreasi memancing di kolam, ikan hiasan dan juga ikan ternakan akuakultur.

"Namun akibat kegagalan penternak untuk mengawal aktiviti pembiakan dan pengkulturan mereka, terdapat kemungkinan ikan asing ini terlepas secara tidak sengaja ke perairan umum," katanya.

Menurutnya, Kajian Inventori Perikanan Darat yang dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia di beberapa lokasi antaranya di Timah Tasoh, Perlis menemui kehadiran ikan asing seperti Peacock Bass (Chicla spp), belida bintik (Chitala chitala) dan lampam jawa (Puntiius gonionotus).

"Terkini, spesies ikan baung ekor merah Asia dan patin high fin dilaporkan kerap ditemui di Sungai Selangor, Sungai Kinta, Sungai Perak, serta Sungai Pahang," katanya.

Menurutnya, jumlah aduan mengenai ikan asing bersifat invasif (invasive alien species - IAS) didapati semakin kerap dan amat membimbangkan.

"Bagi mengurangkan kesan negatif kehadiran spesies ikan asing ini, jabatan juga secara aktif membuat program pelepasan ikan asli seperti lampam Sungai (Barbonymus schwanenfeldii), baung (Mystus nemurus), udang galah (Macrobrachium rosenbergii), sebarau (Hampala macrolepidota), kelah (Tor tombroides), kerai (Puntius daruphani), terbol (Osteochilus vittatus) dan temoleh (Probarbus jullieni).

"Ia dilakukan bersama masyarakat dan pemimpin setempat supaya mereka turut menghargai dan memelihara sumber ikan asli kita.

"Penternak akuakultur juga diminta mengamalkan sistem akuakultur baik (good aquaculture practices - GAP) yang menekankan terhadap tanggungjawab bagi memastikan kawalan ikan yang diternak tidak terlepas ke perairan umum," kata kenyataan itu lagi.

Bagi pengukuhan langkah kawalan dan perundangan, Jabatan Perikanan bersama kerajaan negeri sedang menambah peruntukan larangan melepaskan spesies ikan asing ke dalam perairan sungai dalam Kaedah-kaedah Perikanan Sungai setiap negeri supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang sengaja atau cuai melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum.

Dalam perkembangan lain, bagi mencegah kemasukan ikan asing, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di pintu masuk menjalani latihan dan panduan untuk mengenal pasti ikan asing terlarang dan bersifat invasif berkenaan.

"Jabatan Perikanan Malaysia secara berkala melaksanakan penguatkuasaan di premis-premis jualan ikan bagi memastikan ikan asing yang tersenarai di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import bagi Ikan) 1990 dan Pindaan 2011 dipatuhi dengan merampas dan mendenda pemilikan tanpa kebenaran ikan yang dilarang di Malaysia," katanya.

Lepas ikan asing semata-mata untuk bayar nazar

Jelebu: Ada ikan ganas berasal dari luar negara ini sengaja dilepaskan kerana saiznya tidak mampu ditampung akuarium selain untuk tujuan ritual keagamaan termasuk membayar nazar atau hajat tertentu.

Kehadiran ikan asing bersifat penakluk akhirnya menyebabkan populasi ikan asli di perairan darat Malaysia seperti di tasik, lombong, paya atau sungai merudum teruk dan diancam kepupusan.

Malah, ikan asing ini boleh menjejaskan ekonomi komuniti setempat, merosakkan ekosistem semulajadi dan dikhuatiri membawa penyakit dari luar kepada ikan asli di kawasan berkenaan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, sejarah kemasukan spesies ikan dari negara luar ke Malaysia sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu.

Katanya ketika itu objektif utama kemasukan ikan asing adalah bagi tujuan ternakan akuakultur iaitu sebagai sumber protein kepada rakyat dan penggemar ikan hiasan.

"Namun konflik mula timbul apabila ikan 'pendatang' ini terlepas dari kolam atau sangkar akibat bencana alam atau sengaja dilepaskan oleh individu yang membelanya berikutan kos pemeliharaan yang tinggi.

"Ada sebilangan spesies sudah diwartakan oleh jabatan perikanan melalui Akta Perikanan 1985 sebagai ikan yang dilarang import antaranya pacu, peacock bass, arapaima, alligator gar, salmon, sturgeon, udang kara air tawar dan beberapa jenis ikan cichlid.

"Walau bagaimanapun, ada yang sudah bolos masuk ke dalam perairan kita dan membiak pantas sehingga mendominasi sesuatu perairan," katanya ditemui ketika menjalankan inventori perikanan darat di Sungai Triang di sini.

Halimi berkata, ikan peacock bass sudah bermaharajalela di kebanyakan lombong dan tasik di sepanjang Pantai Barat Semenanjung.

"Udang kara cherax pula menakluki parit dan terusan di Johor, manakala ikan bandaraya menguasai kebanyakan sungai di Lembah Klang sehingga sukar dibendung lagi.

"Sesetengah spesies asing ini dapat meneruskan kelangsungan hidup di persekitaran kita atas kelebihan sifatnya yang tahan lasak dan mampu hidup dalam air tercemar seperti tilapia, ikan bandaraya, keli afrika dan patin siam yang mana kebanyakan ikan asli kita sendiri tidak dapat bertahan di dalamnya.

"Sebagai contoh di sungai dalam bandar seperti Sungai Linggi di Seremban; Sungai Klang atau Sungai Langat di Selangor dipenuhi dengan ikan asing.

"Ada juga ikan asing ini cepat membiak, cekap memburu mangsa dan penjaga anak. Misalnya ikan cichlid yang berasal dari Afrika dan peacock bass dari Amerika Selatan.

"Semua pakej yang ada pada ikan asing ini menyebabkan ikan asli kita yang sensitif terhadap persekitaran tidak mampu bersaing sehingga lama-kelamaan populasinya merosot," katanya.

Halimi berkata, ikan asli adalah spesies semula jadi yang wujud di sesuatu perairan sejak azali, manakala spesies asing masuk ke perairan kita akibat perbuatan manusia.

Katanya sebagai contoh, jika pemangsa seperti peacock bass memasuki tasik yang asalnya mempunyai ikan pemangsa asli iaitu sebarau menyebabkan kedua-dua spesies ikan ini terpaksa bersaing untuk ruang dan makanan yang sama.

"Siapa kuat, dia akan menang. Bukti impak negatif ini dilihat sendiri berdasarkan pengalaman selalu turun memancing di Tasik Chenderoh, Perak. Ikan sebarau yang suatu ketika dahulu meriah di tasik itu kini boleh dikatakan sudah hampir lenyap semenjak ikan peacock bass menakluki Chenderoh lebih 10 tahun yang lalu akibat dilepaskan individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu Halimi berkata, berdasarkan dapatan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, terdapat dua lokasi di negeri ini yang sudah dicerobohi ikan peacock bass iaitu di lombong sekitar Rantau dan Empangan Gemencheh.

"Sebarau selaku ikan asli yang wujud di Empangan Gemencheh dikhuatiri akan mengalami nasib yang sama seperti di Tasik Chenderoh di Perak, Empangan Jus di Melaka dan Tasik Timah Tasoh di Perlis yang kini dipenuhi pemangsa berasal dari Amerika Selatan itu.

"Pemangsa asli kita yang lain seperti ikan toman dan haruan pun sukar bersaing dengan ikan itu," katanya.

Justeru pihaknya khuatir ikan yang bernilai tinggi dan bersifat endemik turut diancam kepupusan, terutama spesies asli bersaiz kecil yang jarang kita peduli seperti ikan pelaga atau betta liar yang alami kemusnahan habitat akibat pembukaan hutan, pencemaran dan tebus guna paya.

"Kini ditambah pula ancaman kemunculan spesies ikan asing yang buas ibarat proses penghapusan etnik," katanya,

Menurutnya, Jabatan Perikanan bersama pihak berkepentingan, mempromosi kempen sayangi ikan asli serta menghapuskan ikan asing, menerapkan amalan akuakultur baik, memperbaiki sistem dan memperketatkan kawalan melalui perundangan, dan memperkasa komuniti perikanan setempat dengan bimbingan jabatan adalah antara cara yang boleh dilakukan untuk meminimumkan impak ikan asing sambil memulihara spesies asli.

"Berikutan itu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan juga memainkan peranan aktif dalam menjalankan program pelepasan ikan semata-mata bagi tujuan memulihara dan memperkaya semula perairan darat kita dengan spesies asli.

"Berdasarkan rekod sehingga September lalu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sudah melepaskan kira-kira 400 ribu spesies ikan asli mencecah nilai RM110,000.

"Spesies ikan asli yang dilepaskan adalah seperti lampam sungai, udang galah, kerai, baung, terbol, puyu, sebarau, siakap, kelah, temoleh dan tapah," katanya.

Justeru, Halimi merayu dan amat berharap orang ramai mempunyai kesedaran untuk tidak melepaskan ikan asing ke perairan kita kerana impaknya terhadap ikan asli tempatan sangatlah besar dan merosakkan.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini muncul lagi ancaman baru yang menakutkan ekoran kemasukan tiga lagi spesies ikan asing yang bersifat pelahap dan bersaiz 'monster' (raksasa) iaitu ikan grande peacock bass, baung ekor merah Asia dan patin Chaophraya.

"Ikan ini mampu membesar sehingga ratusan kilogram dan akan menambah lagi tekanan di kawasan tasik dan lombong yang sudah sekian lama dicemari peacock bass saiz kecil

"Malah baung ekor merah Asia dan patin Chaophraya (juga dikenali high-fin giant catfish) yang berasal dari Lembangan Mekong, Thailand sudah terlepas di beberapa batang sungai seperti Sungai Kinta dan Sungai Perak di Perak; Sungai Selangor di Selangor dan Sungai Pahang di Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:01 PM