AHMAD Yakob (kiri) dan Fadzli Hassan. FOTO Fail
AHMAD Yakob (kiri) dan Fadzli Hassan. FOTO Fail
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Isu calon Menteri Besar Kelantan hangat diperkatakan sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan kenyataan terbaru, menteri besar dan timbalannya dijangka diganti sekiranya Pas terus mentadbir Kelantan, esok.

Ramai beranggapan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang juga calon Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Pekan akan digugurkan.

Bagaimanapun, sumber pimpinan Pas negeri memaklumkan, Ahmad bukan digugurkan, sebaliknya beliau sendiri tidak mahu menjadi Menteri Besar Kelantan selepas ini.

"Sebenarnya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi, Ahmad sudah tidak mahu menjadi Menteri Besar, namun dia diminta oleh pimpinan parti supaya menggalas tanggungjawab berkenaan bagi mengelak berlaku perpecahan dalam parti.

"Begitu juga untuk PRN kali ini, Ahmad memang tidak mahu menjadi Menteri Besar lagi selepas ini," katanya.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan secara rasmi daripada Ahmad dikeluarkan berhubung perkara itu.

Sebaliknya Ahmad hanya memaklumkan PRN kali ini adalah yang terakhir untuknya memandangkan sudah tujuh penggal bertanding di Dun Pasir Pekan, selain menyifatkan sudah tiba masanya memberi laluan kepada orang muda.

Beliau dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan bermula 6 Mei 2013 iaitu selama dua penggal.

Susulan itu, dua nama yang dikaitkan sebagai calon Menteri Besar yang baharu iaitu mantan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan yang juga calon Pas Dun Temangan.

Selain itu, mantan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang juga calon Dun Meranti turut dikaitkan sebagai calon Menteri Besar.

Mohamed Fadzli adalah calon daripada golongan teknokrat, manakala Mohd Nassuruddin adalah calon daripada golongan agamawan.

Pada masa sama, wujud desas-desus mengatakan bakal wujud dua jawatan Timbalan Menteri Besar iaitu seorang daripada Pas, manakala seorang lagi daripada Bersatu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar baharu berikutan keputusan PAS mencadangkan gabungan agamawan dan teknokrat untuk dua jawatan itu jika menang PRN esok.

Susulan itu, Ahmad dan Mohd Amar dijangka tidak dilantik semula memegang antara dua jawatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 10:10 PM