Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (kiri) dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (kiri) dan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Dua nama dipercayai dipersembahkan sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baharu kepada Sultan Kelantan, hari ini.

Difahamkan, dua nama berkenaan ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Mohamed Fadzli juga calon yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Temangan.

Selain itu, nama bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dipercayai turut tersenarai untuk lantikan berkenaan.

Mohd Nassuruddin adalah calon yang memenangi kerusi Dun Meranti Pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Setakat ini, desas-desus kuat mengatakan dua individu berkenaan akan bergabung sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu iaitu gabungan agamawan dan teknokrat.

Sumber pimpinan Pas berkenaan, antara dua nama berkenaan sekiranya Sultan Kelantan memilih seorang daripada calon berkenaan sebagai Menteri Besar, maka seorang lagi akan dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

"Difahamkan, dua nama berkenaan dihantar untuk pertimbangan Sultan Kelantan hari ini.

"Sekiranya mendapat perkenan Sultan Kelantan, dua nama berkenaan akan bergabung sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Kelantan dijangka mempunyai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar baharu dengan gabungan agamawan dan teknokrat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 2:31 PM