AHMAD Yakob. FOTO arkib NSTP
AHMAD Yakob. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pas Kelantan sehingga kini gagal mencapai kata sepakat berhubung tiga nama calon Menteri Besar yang akan diserahkan kepada Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perbincangan berhubung perkara itu akan diteruskan malam ini dengan dihadiri pemimpin kanan parti termasuk Abdul Hadi.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan memutuskan calon yang layak untuk menggantikannya susulan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

"Mesyuarat malam tadi dilanjutkan kepada malam ini dengan dihadiri pimpinan Pas Pusat dan menerusi mesyuarat berkenaan akan diputuskan semua (calon Menteri Besar).

"Saya sudah uzur dan saya sendiri minta untuk tidak disambung. Walaupun ada pimpinan meminta dan memujuk saya untuk menyambung jawatan Menteri Besar, saya terpaksa menolak atas faktor usia dan kesihatan.

"Biarlah masa dan waktu yang ada digunakan untuk berkhidmat kepada penduduk Kelantan sebagai wakil rakyat biasa, bukannya Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan memaklumkan akan menghantar tiga nama sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang baharu kepada Abdul Hadi sebelum dipersembah kepada Sultan Kelantan.

Menteri Besar yang baharu dijangka akan mengangkat sumpah Selasa ini.

Pada PRN semalam, Pas Kelantan berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 43 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Manakala, dua kerusi lagi dimenangi masing-masing satu daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 6:21 PM