BENDERA Amanah.
BENDERA Amanah.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu merampas empat daripada tujuh kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, ia berdasarkan situasi semasa dan mengambil kira jumlah undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, empat kerusi berkenaan adalah Dun Kota Lama, Pengkalan Pasir, Kadok serta Temangan.

"Empat Dun ini setakat hari ini mendahului berbanding tiga Dun lagi yang kita bertanding. Kalau mengikut pada PRU-14, jika ditambah undi PH dan BN, ia sudah melepasi jumlah majoriti.

"Malah, sokongan terhadap calon Amanah juga amat memberangsangkan, lebih-lebih lagi dibantu dengan kehadiran pimpinan pusat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin di Dun Kota Lama," katanya.

Bagaimanapun katanya, suasana positif itu tidak menjadikan mereka leka memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki tiga hari sahaja lagi.

"Kita menganggap tempoh yang ada ini adalah pecutan terakhir kerana macam-macam boleh berlaku dan kita sukar untuk meramalkannya.

"Namun, saya berharap semua calon serta jentera parti perlu meningkatkan usaha untuk turun ke lapangan bagi meyakinkan rakyat dan pengundi selain menerangkan manifesto yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 10:03 AM