LOKASI kejadian  di Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu. FOTO Melvin Joni
LOKASI kejadian di Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Sibu: Seorang lelaki maut manakala seorang rakannya cedera di muka dan seorang lagi selamat selepas ditembak di sebuah kebun di Lot 112, Batu 9, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian 1.23 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dengan lapan kesan tembakan pada badan.

"Mangsa dihantar ke Hospital Sibu oleh rakan dan keluarganya namun disahkan meninggal dunia pada 1.55 pagi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama dua rakan lelakinya masing-masing berusia 46 dan 36 tahun ke kebun berkenaan pada 9.30 malam untuk makan malam sebelum beredar kira-kira 11.30 malam.

"Ketika rakan mangsa mengunci pintu pagar di kebun berkenaan, tiba-tiba mereka ditembak suspek yang datang dari arah bukit berhampiran.

"Seorang daripada mereka melarikan diri ke arah belukar di lereng bukit berkenaan untuk menyelamatkan diri dan selepas setengah jam kemudian, lelaki itu keluar dari kawasan belukar terbabit menemukan mangsa maut," katanya.

Zulkipli berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis menemukan kelongsong peluru namun senjata api yang digunakan masih belum dikenal pasti.

Menurutnya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, serangan itu dilakukan dua suspek.

Ditanya sama ada kejadian itu membabitkan aktiviti gangsterisme, Zulkipli berkata, ia masih dalam siasatan, namun mendedahkan mangsa yang terbunuh ada tiga rekod jenayah lampau, antaranya berkaitan kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 5:56 PM