LOKASI kejadian tembak dan amuk menyebabkan lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera di rumah terbiar di kawasan ladang sawit Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Bintulu, malam tadi. FOTO Erika George.
LOKASI kejadian tembak dan amuk menyebabkan lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera di rumah terbiar di kawasan ladang sawit Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Bintulu, malam tadi. FOTO Erika George.
Erika George


SEORANG lelaki warga asing maut manakala rakannya cedera dalam kejadian amuk dan tembak di rumah terbiar di kawasan ladang sawit Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, Bintulu, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa berusia 30-an dan rakannya 20-an sedang berbual di hadapan rumah sebelum ditembak individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2.48 pagi.

“Sebaik tiba, mangsa didapati terbaring di atas tanah dipercayai terkena tembakan dan lehernya turut mempunyai kesan kelar.

“Rakan mangsa cedera pada bahu kanan akibat terkena tembakan peluru penabur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkipli berkata, maklumat awal mangsa selamat memaklumkan mereka sedang berbual ketika kejadian sebelum terdengar bunyi tembakan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang kesakitan akibat terkena tembakan cuba melarikan diri ke kawasan belukar belakang rumah, namun seorang daripadanya terjatuh sebelum sempat lari menyelamatkan diri.

“Selepas keadaan benar-benar reda, seorang daripada mangsa keluar dari persembunyian dan mendapati rakannya sudah meninggal dunia.

“Polis akan menjalankan siasatan terperinci berkenaan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat manakala, rakannya turut diberikan rawatan di hospital sama.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 3:59 PM