Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebagai petugas barisan hadapan, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) memainkan peranan penting dalam penugasan selaku pasukan yang menerima maklumat awal berhubung kejadian jenayah.

Kehadiran mereka sebagai pasukan pertama yang tiba di lokasi membolehkan tindakan pantas diambil selain tugas hakiki melakukan rondaan bagi mencegah jenayah.

Justeru, penugasan anggota unit berkenaan yang dijalankan secara berpasukan memerlukan semangat kerjasama serta berkomunikasi antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang.

Ini termasuk pengendalian situasi membabitkan orang awam yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi anggota URB Unit Polis Pelancong (UPP) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Lans Koperal S Kannan Sathaselvan, 29, pelbagai cabaran dihadapi pihaknya semasa bertugas termasuk berdepan provokasi daripada orang awam yang menyentuh sensitiviti kaum.

Menurut anak jati Ipoh, Perak itu, beliau pernah berdepan situasi provokasi oleh individu berbangsa India dengan tohmahan tidak mahu 'membantu' bangsa sendiri.

"Dalam URB, penugasan kita adalah secara berpasangan. Dalam satu kejadian, saya dan rakan bertugas (berbangsa Melayu) ada membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki berbangsa India.

"Lelaki itu marah pada saya kerana tidak 'membantu' dia (yang diperiksa ketika itu) meskipun sama bangsa. Dalam situasi ini, kami diajar supaya bertenang dan tidak 'melayan' sebarang provokasi.

"Dalam setiap penugasan (rondaan), saya tidak pernah rasa tidak selesa apabila rakan setugas saya terdiri dari bangsa lain.

Johanes (kiri) bersama Kannan (tengah) dan Danial Yong ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Johanes (kiri) bersama Kannan (tengah) dan Danial Yong ketika ditemui di IPK Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH

"Ini kerana sejak dari zaman universiti lagi saya mempunyai ramai rakan kaum Melayu di mana dalam kumpulan kawan hanya saya seorang berbangsa India," katanya.

Sementara itu, seorang anggota MPV UPP IPK Kuala Lumpur, Lans Koperal Danial Yong, 24, berkata, beliau tidak berasa canggung meskipun dikategorikan sebagai kaum 'minoriti' dalam pasukan.

"Mungkin jumlah keanggotaan kaum Cina dalam unit ini tidak ramai, tapi saya tidak rasa keadaan itu menyukarkan saya menjalankan tugas.

"Ini kerana saya beranggapan, kami (rakan setugas) semua adalah sama saja dan sifat itu sudah diterapkan sejak di peringkat latihan lagi.

"Malah, pergaulan antara kami termasuk dengan orang ramai banyak membuka mata saya melihat dunia luar," katanya yang berasal dari Johor Bahru, Johor.

JOHANES (kiri) bersama  Kannan (kanan) dan Danial menjalankan tugas mereka membuat rondaan dan pemantauan di Bukit Bintang. FOTO GENES GULITAH
JOHANES (kiri) bersama Kannan (kanan) dan Danial menjalankan tugas mereka membuat rondaan dan pemantauan di Bukit Bintang. FOTO GENES GULITAH

Seorang lagi anggota di unit sama, Koperal Johanes Mokhtar, 35, berkata, penugasan bersama rakan berbeza kaum membolehkan mereka berkongsi makanan tradisional masing-masing terutama semasa musim perayaan.

"Setiap kali ada perayaan seperti Deepavali, akan ada rakan (sepasukan) berbangsa India bawa makanan kepada kami yang bertugas dan keadaan sama juga apabila semasa Hari Raya.

"Hubungan yang erat ini juga diteruskan di luar waktu kerja sehingga ada rakan setugas saya berlainan bangsa sebelum ini menjadi rapat dan terus berkomunikasi meskipun sudah bertugas di lokasi lain," katanya yang juga anak jati Hulu Langat, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 7:00 AM