Siti Rohana Idris


BAGI menghalang kegiatan penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan, Pasukan Gerakan Am (PGA) mempergiatkan rondaan dan kawalan menerusi Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keanggotaannya URB ditambahkan kepada 35 hingga 40 orang bergantung kepada kawasan tanggungjawab.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, rondaan URB merangkumi kawasan jalan raya, perkampungan dan pangkalan haram bermula di Kuala Jambu, di Tumpat hingga ke Jeram Perdah, Rantau Panjang.

“Rondaan selama 24 jam dijalankan pegawai dan anggota mengikut kekerapan yang tinggi di kawasan yang dikenali sebagai ‘hot spot’ sejauh 25 kilometer (km).

“Selain mencegah kejadian penyeludupan manusia, menerusi rondaan itu juga anggota kami akan memberi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai arahan kerajaan,” katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan rondaan di perairan Sungai Golok bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor bermula di Pengkalan Kubor hingga ke Pos Pulau, Pasir Mas, sejauh kira-kira 21 km.

Azhari berkata, selain URB, penugasan lain yang dijalankan pihaknya seperti rondaan berjalan, berkereta, sekatan jalan raya, sekat pintas, rondaan bot dan risikan sempadan.

Menurutnya, hasil penugasan itu, pihaknya berjaya mengenalpasti beberapa lokasi atau laluan yang sering digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negara ini dan lokasi itu diperketatkan bagi langkah pencegahan.

Menurutnya lagi, sebanyak dua sekat pintas yang baharu juga diwujudkan di Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) bagi mengawal pergerakan orang ramai dan juga mengekang kegiatan penyeludupan serta menghalang kemasukan PATI ke negara ini.

“Seterusnya, pemeriksaan di sekatan jalan raya juga diperketatkan berikutan tangkapan atau rampasan beberapa kes penyeludupan yang membabitkan taktik menyembunyikan barangan salah di dalam lori yang membawa makanan.

“Justeru itu, arahan juga sudah diberikan kepada semua petugas sekatan jalan raya di bawah kawalan PGA untuk melakukan pemeriksaan terperinci walaupun kenderaan yang membawa barang makanan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    PASUKAN dari unit rondaan bermotosikal Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang mengawal sempadan perairan negara di Pos Pulau, Pasir Mas, dekat sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS
    PASUKAN dari unit rondaan bermotosikal Pasukan Gerakan Am (PGA) sedang mengawal sempadan perairan negara di Pos Pulau, Pasir Mas, dekat sini. FOTO SITI ROHANA IDRIS

  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:31 PM