PERSEMBAHAN ST12 mengimbau kembali kejayaan indah yang diraih kumpulan itu sejak 20 tahun lalu. - FOTO Genes Gulitah
PERSEMBAHAN ST12 mengimbau kembali kejayaan indah yang diraih kumpulan itu sejak 20 tahun lalu. - FOTO Genes Gulitah
Najiy Jefri


PENYATUAN kumpulan ST12 dengan bekas penyanyinya, Charly Van Houten dalam konsert yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, baru-baru ini berjaya menghimpunkan lebih 8,000 peminat tegar.

Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya boleh dianggap sebagai malam 'perhimpunan' keluarga ST12, sekali gus menggamit nostalgia apabila kelibat Charly muncul atas pentas selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri.

Ternyata kehadiran Charly bersama dua lagi rakan seperjuangan iaitu Ilham Febry atau Pepeng (dram) dan Indra (bass) melengkapkan segala rencah yang mengangkat nama kumpulan itu sehingga hari ini.

ST12 menghangatkan konsert dengan persembahan pembuka menerusi album Jalan Terbaik yang dilancarkan pada 2005 berjudul Rasa Yang Tertinggal.

Kemudian persembahan diteruskan dengan Jangan Mau Mau, Aku Terjatuh dan Putri Iklan.

Tidak terhenti di situ, ST12 terus 'payung' peminat dengan lagu malar segar kumpulan itu seperti Stasiun Cinta, Asmara, Terlalu, Istana Bintang, Sungguh Terlalu Indah dan Tujuh Tahun.

Lagu Jangan Marah Marah yang dihasilkan secara bersama semula selepas lapan tahun terpisah turut didendangkan pada konsert terbabit hingga menerima sorakan ribuan peminat.

CHARLY (dari kiri) bersama anggota ST12, Pepeng dan Indra. - FOTO Genes Gulitah
CHARLY (dari kiri) bersama anggota ST12, Pepeng dan Indra. - FOTO Genes Gulitah

FIRMAN - FOTO Genes Gulitah
FIRMAN - FOTO Genes Gulitah

PENYANYI dan juga anak kepada Charly, Restu. - FOTO Genes Gulitah
PENYANYI dan juga anak kepada Charly, Restu. - FOTO Genes Gulitah

JACLYN - FOTO Genes Gulitah
JACLYN - FOTO Genes Gulitah

EZAD - FOTO Genes Gulitah
EZAD - FOTO Genes Gulitah

Teruja dengan sokongan yang diberikan, Charly berkata, dia berterima kasih kepada peminat yang masih menyokong perjalanan seni kumpulan itu.

"Malam ini akhirnya berlaku bukan kerana kami hebat, tetapi disebabkan kalian yang cukup bahagia.

"Sudah 20 tahun berkarya dan baru sekarang dapat hibur 'fans' (peminat) di sini. Terima kasih Malaysia," katanya.

Menurut Charly, biarpun kumpulan itu berdepan pelbagai ujian, namun peminat terus setia menantikan ia bersatu.

"Banyak yang dilalui ST12 termasuk perpecahan dalam ahli kumpulan. Namun, peminat masih setia mendengarkan lagu kami.

"Walaupun saya sudah tidak lagi bersama ST12 pada 2012, tapi jujur saya gembira kerana dapat berkarya sehingga detik ini," katanya.

Pada konsert berkenaan, peminat turut disajikan dengan video perjalanan kerjaya Charly seawal usia 16 tahun yang mana ketika itu dia mula menyanyi di restoran sebelum menubuhkan ST12 pada sekitar 2003.

Lebih indah, ST12 turut mengundang rakan seperjuangan Firman Siagian selain penyanyi tempatan seperti Jaclyn Victor, Ezad Lazim serta anaknya, Restu Van Houten untuk menghiburkan peminat pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 6:49 AM