Situasi banjir di Pekan Penampang baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Situasi banjir di Pekan Penampang baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) meluluskan permohonan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk menggunakan RM14 juta baki peruntukan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 negeri itu untuk pemberian bantuan banjir.

Menurut kenyataan agensi itu, jumlah tersebut termasuk pemberian bantuan wang ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terkesan serta sumbangan BW kematian sebanyak RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

NADMA juga memaklumkan bahawa Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang beroperasi 24 jam akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi bencana di Sabah.

"Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)," menurut kenyataan itu.

Jumlah mangsa banjir di Sabah setakat pagi ini adalah seramai 464 orang daripada 140 keluarga yang berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terkesan iaitu Penampang, Putatan dan Tuaran.

Menurut NADMA kesiapsiagaan menghadapi banjir diselaraskan oleh JPBD termasuk pengaktifan PPS, penyediaan dan keperluan bilik gerakan serta stor simpanan.

"JPBD juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan keperluan mangsa di pusat penempatan diperolehi sewajarnya.

"Buat masa ini keadaan di Sabah adalah terkawal dan koordinasi di antara agensi yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan dengan amat baik," katanya.

NADMA menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mematuhi arahan sekiranya diarahkan berpindah.

Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh didapati menerusi media sosial, laman web rasmi serta aplikasi myCuaca dan MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 1:48 PM