PEMAIN JDT menguji padang pada sesi latihan pertama di Korea. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN JDT menguji padang pada sesi latihan pertama di Korea. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari menganggap pertembungan menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, esok begitu penting bagi memburu slot ke peringkat seterusnya.

Katanya, saingan musim lalu amat berbeza kerana ia diadakan secara berpusat di Malaysia kesan daripada Covid-19 dan pada musim ini, cabaran buat JDT apabila perlu bertandang ke gelanggang lawan untuk sekali lagi berdepan skuad kendalian Hong Myung-bo.

"Saya difahamkan Ulsan membawa masuk beberapa pemain muka baharu dan pastinya mereka akan tampil dengan corak permainan berbeza.

"Bagi saingan ACL, kami membuat persiapan sejak 10 bulan lalu termasuk aksi menentang kelab dari Korea Selatan.

"Jadi, kami bersedia berdepan Ulsan dengan membuat persiapan serius secara psikologi serta fizikal dan pemain tampak tidak berdepan masalah untuk beraksi.

"Tidak dinafikan Ulsan dibarisi pemain berkualiti dan ia bakal menjanjikan aksi berintensiti tinggi, sekali gus peluang terbaik kami beraksi dengan kualiti permainan terbaik bagi mengimbangi kekuatan lawan," katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu tidak menafikan faktor cuaca sekitar 17 darjah Selsius agak menjejaskan persiapan, namun mengakui mereka sedia menempuh apa jua situasi serta risiko.

Menurutnya, mereka tiba awal bagi menyesuaikan keadaan cuaca dan kondisi padang di Korea.

Katanya, beberapa pemain yang bersama skuad kebangsaan bagi aksi Pestabola Merdeka, baru-baru ini, perlu menjalani proses pemulihan dan semuanya berjalan lancar.

JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan I selepas mengutip tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United dari Thailand pada aksi 3 Oktober lalu dan tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada 19 September lalu.

"Antara cabaran perlu digalas bagi membimbing JDT apabila pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja mahu JDT hebat di saingan liga tempatan, malah turut menyerlah di peringkat antarabangsa.

"ACL adalah medan terbaik untuk pamer kualiti dan kami optimis akan turun menentang Ulsan dengan aksi terbaik dan membawa pulang keputusan positif," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 4:26 PM