AKSI antara JDT dan Ulsan sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
AKSI antara JDT dan Ulsan sebentar tadi. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) merakam kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 3-1 kepada Ulsan Hyundai dari Korea Selatan biarpun lawan terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang babak kedua di Stadium Bolasepak Munsu, di Ulsan, hari ini.

Ia adalah kekalahan kedua selepas tumbang di tangan kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pertama sebelum bangkit menjinakkan wakil Thailand, BG Pathum United di Bangkok.

Dalam aksi itu, Ulsan yang dibimbing Hong Myung-bo tidak menurunkan ayam tambatan, Martin Adam dengan hanya meletakkan penyerang Hungary itu di bangku simpanan.

Biarpun tanpa sentuhan berbisa Adam, tuan rumah hanya memerlukan lima minit untuk mendahului menerusi tolakan mudah Jung Seung Hyun selepas menyambut sepakan sudut Darijan Bojanic.

Ulsan Hyundai yang juga juara bertahan saingan K League 1 pada musim lalu itu terus selesa memimpin perlawanan apabila Gustav Ludwigson meledak dua gol masing-masing di minit ke-12 dan 18 bagi memberi tekanan kepada JDT.

Pada minit 36, pasukan tuan rumah menerima tamparan hebat apabila Kim Tae Hwan dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua sekali gus terpaksa beraksi 10 pemain.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan yang juga juara Liga Super 10 kali berturut-turut merapatkan kedudukan hasil rembatan padu Bergson da Silva yang gagal dihalang Jo Hyeon Woo.

Anak buah Esteban Solari berusaha memburu tambahan jaringan namun benteng tuan rumah ampuh bertahan untuk mengakhiri aksi memihak Ulsan Hyundai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 8:23 PM