AISHA akui menerusi Gadis Muzikal, hubungan dengan pelakon lain semakin akrab.
AISHA akui menerusi Gadis Muzikal, hubungan dengan pelakon lain semakin akrab.
Ridzuan Abdul Rahman

BERMULA sebagai penyanyi dan akhirnya melangkah masuk ke bidang lakonan. Ia fenomena biasa dalam industri seni hiburan tanah air dan situasi ini yang dilalui Aisha Retno, 23.

Diam tak diam, Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam kini sudah membintangi telefilem berjudul Cangkul dan paling terbaharu drama bersiri Gadis Muzikal yang bersiaran di TV3 sejak Jumaat lalu.

"Telefilem Cangkul ditayangkan pada tahun lalu menggandingkan saya dan pelakon Nazim Othman. Watak saya sebagai isteri, kiranya heroin cerita ini.

"Julung kalinya terjun dalam lakonan, saya banyak belajar dan bila dapat tawaran untuk Gadis Muzikal, saya tak teragak-agak untuk katakan ya.

"Saya bersyukur telefilem Cangkul diterima baik oleh penonton yang selalu menonton telefilem. Sebagai penyanyi yang masuk dalam lakonan, saya dihargai dan ia sesuatu yang menggembirakan," katanya.

Menurutnya, ketika berlakon telefilem terbabit, dia banyak belajar dengan Nazim dan ramai lagi pelakon lain.

"Apabila dapat tawaran Gadis Muzikal, saya aplikasikan ilmu itu untuk drama ini. Sebenarnya tawaran untuk Gadis Muzikal saya dapat pada saat akhir juga.

"Disebabkan kekangan masa, jadual untuk 'show' pun agak padat, saya tak sempat nak pergi 'casting'.

"Tapi, untuk watak Melly ini sendiri, pengarah kata kena dengan saya dan saya cuba galas tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya.

Penggambaran drama arahan Kyoll Hamzah untuk slot Lestary ini berlangsung dua bulan.

Turut berlakon ialah Fiza Thomas, Serene Claire, Mark Adam, Fath Hafeez dan ramai lagi.

"Karakter saya sebagai Melly macam lalang. Dia baik, tapi terikut pengaruh rakan sebaya. Alhamdulillah... saya cuba jayakan sebaik mungkin dengan ilmu yang saya belajar tahun lalu.

"Pengarah Gadis Muzikal pun 'best', sangat 'friendly' dan senang untuk bekerjasama. Jadi, mudah saya nak bawa watak Melly.

"Ada beberapa pelakon punyai 'background' penyanyi kerana drama ini lebih mementingkan muzik dan sebagainya. Mereka yang datang 'casting' pun kebanyakan penyanyi," katanya.

AISHA (tiga dari kanan) dalam drama Gadis Muzikal.
AISHA (tiga dari kanan) dalam drama Gadis Muzikal.

Menerusi Gadis Muzikal, hubungan Aisha dengan pelakon lain semakin akrab.

"Seronok dapat berlakon dengan mereka. Gadis Muzikal mempunyai skrip yang 'fresh'. Ia julung kali penerbit buat. Kalau tengok inspirasinya ada dari High School Musical. Lebih kurang begitu.

"Gadis Muzikal ini lebih menitikberatkan mengenai apresiasi berkenaan kumpulan wanita zaman dulu seperti Feminin dan Elite. Ia bawa balik zaman itu dan dilakonkan semula oleh kami.

"Lagu popular Untukmu nyanyian Feminin dijadikan runut bunyi utama cerita ini. Penyanyi-penyanyinya ialah pelakon Gadis Muzikal termasuk saya. Lagu ini jadi kesukaan ramai pada era 1990-an," katanya.

Aisha mengakui menjalankan tanggungjawab agak berat untuk menyanyikan semula lagu ini.

"Ia pengalaman yang 'best' dan insya-Allah boleh diterima peminat. Lagu ini digubah semula oleh Mas Dewangga dan pasukannya. Tak banyak perubahan dibuat cuma ia disegarkan semula kepada era sekarang.

"Untuk episod pertama, ada yang beri respons yang sangat baik. Ada juga peminat yang terkejut saya berlakon bawa watak berbeza dari kehidupan sebenar.

"Apa pun, sama ada respons baik atau buruk kami terima dengan lapang dada. Saya tak sabar nak tengok penonton saksikan episod seterusnya," katanya.

Aisha berkata, dia selalu mengambil setiap peluang keemasan untuk memajukan diri dalam seni.

"Bila dapat tawaran berlakon saya sangat-sangat gembira. Saya tak teragak-agak terima. Lagipun Gadis Muzikal banyak berkaitan dengan kehidupan sebagai penyanyi, tak jauh beza.

"Biarpun beban ada di mana-mana, saya tak rasa terbeban untuk kali ini. Untuk drama ini senang sikit kerana wataknya lebih kurang apa yang saya buat dalam industri nyanyian.

"Peluang dan rezeki ada di mana-mana. Sebagai anak seni, kita perlu menyahut cabaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:00 AM