AISHA (dari kiri), Fiza, Khodi, Serene dan Tika gembira ditemukan dalam Gadis Muzikal. FOTO Aziah Azmee dan Nabila Adlina Azahari
AISHA (dari kiri), Fiza, Khodi, Serene dan Tika gembira ditemukan dalam Gadis Muzikal. FOTO Aziah Azmee dan Nabila Adlina Azahari
Ridzuan Abdul Rahman


DRAMA bersiri 13 episod, Gadis Muzikal terbitan Zeel Production dan arahan Kyoll Hamzah berjaya memikat hati penonton slot Lestary TV3 sejak ditayangkan 17 Ogos lalu.

Memasuki minggu terakhir minggu ini, drama berkisar mengenai lima gadis mengejar impian, memburu cita-cita menjadi penyanyi popular ini semakin mendapat tempat di hati penonton.

Telatah barisan pelakon Gadis Muzikal iaitu Fiza Thomas, Aisya Retno, Serene Claire, Khodi dan Tika Nasir mencuit hati penonton di kaca TV.

Kemeriahan drama ini turut diwarnai dengan penampilan Ogy Ahmad Daud, Mark Adam, Hafreez Adam, Rahmad Mega, Azza Elite, Ani Maiyuni, Nadia Kesuma, Fauziah Latiff dan ramai lagi.

Drama ini mengisahkan mengenai Syikin, Aifa, Una, Lulu dan Melly yang datang daripada latar belakang berbeza, tetapi berjaya menyertai sebuah program realiti secara maya untuk mencari ahli bagi satu kumpulan trio yang bernama 'Angelz'.

Mereka melalui penilaian yang dibuat Miss Jay dalam sesi uji bakat dan terpilih untuk menyertai program realiti ini dan ditempatkan di sebuah banglo serta diasingkan daripada orang ramai.

Dari sini mereka berlima diberikan tugas dan misi berbeza setiap minggu. Dari situ pelbagai kisah menarik dapat disaksikan menerusi drama ini.

Gadis Muzikal juga memberikan pengalaman berbeza buat beberapa pelakon utamanya yang pertama kali terbabit dalam lakonan.

Khodi yang memegang watak Shikin berkata, dia bersyukur kerana terbabit dalam Gadis Muzikal.

"Ini lakonan pertama dan saya teruja kerana drama ini ada elemen muzikal. Sebagai Shikin, saya melihat ia watak yang menarik. Saya pun mula menyanyi sejak usia 16 tahun.

"Digandingkan dengan semua pelakon lain termasuk Kak Ogy adalah satu pengalaman yang 'best'. Ia dapat bina nama saya dalam industri hiburan kita.

"Sebagai Shikin, penampilan saya berbeza kerana dia berasal dari kampung. Dia sukakan akustik dan dalam kelima-limanya, Shikin main ukulele sambil menyanyi," katanya.

Menurutnya, nyanyian Shikin seperti Najwa Latif, Yuna dan Zee Avi. Genre yang dibawakan juga sangat 'mellow' dan berbeza dari peserta lain.

"Bagi saya, Shikin satu watak yang boleh bagi inspirasi kepada pendatang baharu yang ingin cuba nasib dalam industri seni," katanya yang pernah menyertai program Lagu Cinta Kita.

Fiza pula seronok melakonkan watak Una, janda anak satu berusia lapan tahun.

"Una dah bercerai awal. Contohnya dia kahwin muda kemudian bercerai umur 21 tahun. Disebabkan masih muda, dia menjalani hidup yang tiada kepercayaan terhadap orang lain kecuali anak dan ibu saudaranya.

"Una dari Sabah dan gunakan slang Sabah. Apabila masuk Angelz sikapnya agak menyendiri. Dia juga peminat fanatik rock.

DRAMA kisah lima gadis kejar impian jadi penyanyi popular semakin mendapat perhatian penonton. FOTO Aziah Azmee dan Nabila Adlina Azahari
DRAMA kisah lima gadis kejar impian jadi penyanyi popular semakin mendapat perhatian penonton. FOTO Aziah Azmee dan Nabila Adlina Azahari

"Dari episod pertama sehingga 10, Una banyak menyendiri. Selepas itu baru dia mula bercampur dengan orang lain," katanya yang dikenali menerusi iklan Petronas, Rendang SoRaya sempena Aidilfitri pada 2020.

Aisha pula melakonkan watak sebagai Melly, seorang gadis yang serba lengkap dan sempurna semuanya.

"Dia boleh menyanyi dengan baik. Cuma dia agak 'body shaming' terhadap orang lain. Agak susah juga nak bawa watak ini kerana secara realitinya saya belum pernah dapat kecaman sebagaimana Melly dapat kecaman.

"Watak ini agak dalam. Melly seorang yang lalang dan suka terikut-ikut perangai orang lain," katanya.

Tika sebagai Aifa pula seorang yang 'blur', senang dibuli dan terikut-ikut. Dia berasal dari kampung dan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

"Tiba-tiba dia ada rezeki masuk ke Angelz. Ini lakonan pertama saya dan syukur juga kerana dapat muncul dalam drama ini. Ia pengalaman berharga dalam karier saya.

"Bukan mudah nak kerjasama dengan barisan pelakon orang lama seperti Kak Ogy. 'Benda' ini satu cabaran baharu. Sebelum ini fokus menyanyi sekarang cuba berlakon pula. Drama ini ada elemen muzikal. Itu yang buat teruja," katanya.

Serene yang membawakan watak Lulu gembira kerana pertama kali berpeluang berlakon drama Melayu.

"Watak Lulu seorang antagonis. Sebenarnya dia ada cerita kenapa jadi begitu. Bahasa Malaysia sebenarnya cabaran terbesar saya berlakon drama ini.

"Sebabnya saya memang tak cakap Bahasa Malaysia dalam hidup saya. Namun, saya cuba yang terbaik. Saya buat apa yang diajar pengarah.

"Saya berterima kasih kepada pelakon lain yang banyak bantu. Saya janji akan menguasai penguasaan Bahasa Malaysia selepas ini," katanya yang pernah menyertai pertandingan Miss World Malaysia 2015 dan Miss Universe Malaysia 2020.

Mengulas pengalaman berlakon dengan Ogy yang melakonkan watak Miss Jay, semuanya gembira dan tidak melihat satu masalah besar.

"Syukur kami dapat berlakon dengan dia. Kak Ogy seorang pelakon profesional dan kami dapat banyak input dari dia.

"Dia sangat tegas dan sikapnya itu sangat bagus. Kami dapat belajar lebih mendalam dengan dia. Kak Ogy banyak beri ilmu dan nasihat di luar dan dalam set.

"Garang-garang itu kami tolak tepi. Kami ambil sisi positif saja. Kami tahu dia buat begitu untuk berjaya dalam karier," kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 7:00 AM