Melly enggan buat perkara merepek untuk cari populariti - FOTO Rohanis Shukri
Melly enggan buat perkara merepek untuk cari populariti - FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


NAMA pelakon Melly Amalin, 20, mungkin tidak dikenali sebagaimana rakan seangkatannya iaitu Puteri Balqis.

Namun, dia sudah aktif dalam lakonan sejak berusia 10 tahun dan pernah membintangi pelbagai drama termasuk filem.

Malah, lakonannya dalam telefilem Olong bersama pelakon dan pengarah berkaliber, Sabri Yunus berjaya melayakkan Melly tersenarai Top 5 dalam kategori Pelakon Drama Wanita Terbaik di Anugerah Skrin (ASK).

Walaupun tewas, Melly mengakui kenangan pada 2013 diraihnya itu menjadi memori terindah sepanjang aktif sebagai pelakon.

Kini menyambung pengajian Diploma Seni Tari di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Melly berkata, fokus utamanya sekarang menjurus kepada pelajaran.

Ditemui baru-baru ini, Melly juga memaklumkan dia teruja untuk menyaksikan filem Butak lakonannya yang penggambaran dilakukan pada 2018 lalu.

TAK sabar tunggu filem pertama lakonannya, Butak ditayangkan. - FOTO Rohanis Shukri
TAK sabar tunggu filem pertama lakonannya, Butak ditayangkan. - FOTO Rohanis Shukri

"Alhamdulillah, tak lama lagi saya akan muncul dengan filem Butak di pawagam yang dibintangi bersama Fimie Don dan Izuan Fitri sebagai watak utama.

"Sejujurnya, saya teruja dengan filem ini kerana bekerja di bawah arahan Sabri Yunus lagi. Selama aktif berlakon, saya sering bekerja dengan Sabri dalam drama dan telefilem arahannya.

"Saya selesa bekerja dengan Sabri kerana dia pengarah yang banyak membantu menjaga kualiti lakonan seseorang pelakon. Dia juga penyabar dan tak pernah bercakap kasar ketika memberi arahan," katanya.

Berbicara lagi mengenai karier lakonannya, Melly berkata, dia masih berlakon, namun lebih ke arah iklan komersial berikutan boleh dilakukan mengikut

masa terluang.

"Setakat ini, saya ada juga berlakon iklan di televisyen, tapi bergantung kepada tawaran dan jadual kerja yang tak mengganggu aktiviti kuliah. Bagi saya sekarang, pelajaran sangat utama.

"Apatah lagi, saya memang minat tarian. Ditambah, ibu pun sudah menghantar saya belajar menari terutama tarian tradisional sejak usia tujuh tahun," katanya yang turut akur nama kurang dikenali.

Ditanya perancangannya untuk kerjaya seni pada masa akan datang, Melly berkata, dia sentiasa yakin dengan rezeki.

"Apapun, saya akan pastikan tidak terjebak dengan perkara kurang manis demi menaikkan nama dalam kerjaya. Bagi saya, tak perlu buat perkara merepek hanya disebabkan ingin popular.

"Bagaimanapun, saya tak fikir sebenarnya nak buat apa. Saya selesa serah pada ketentuan takdir kerana yakin dengan rezeki. Sampai rezeki saya, pasti tak ke mana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:23 AM