MUHYIDDIN tiba di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
MUHYIDDIN tiba di Mahkamah Tinggi, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pertuduhan salah guna kedudukan dihadapi bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diketepikan kerana cacat dan tiada pendedahan sebarang kesalahan dalam undang-undang itu.

Peguam yang mewakili Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, tiada pendedahan kesalahan sekali gus wujud satu penyalahgunaan proses.

"Adalah jelas bahawa konsep proses keadilan dilanggar oleh pihak pendakwaan kerana terlalu tergesa-gesa, di mana peraturan asas keadilan tidak dipatuhi.

"Empat pertuduhan mengikut seksyen itu tidak mendedahkan kesalahan yang diketahui dalam undang-undang dan akibatnya harus diketepikan.

"Mesti jelas dan tepat dalam draf pertuduhan itu, pemohon (Muhyiddin) diprejudis," katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, hari ini.

Dalam hujahan, Hisyam berkata, tertuduh dibiarkan untuk meneka dan membuat spekulasi bagaimana didakwa menyalahgunakan kedudukan jika ada, selain ada membuat sebarang keputusan, mengambil apa-apa tindakan dan berhubung perkara apa.

"Pemohon tidak dapat memberi arahan tepat kepada pasukan peguam yang mengakibatkan penyediaan pembelaan menjadi cacat," katanya.

Terdahulu, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Sementara itu, pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin tidak bersifat diskriminasi berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tiada sebarang kecacatan kepada pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM adalah satu kesalahan yang dikenali oleh undang-undang.

"Setiap inti pati pertuduhan atau elemen pertuduhan ada dinyatakan di dalam setiap pertuduhan di bawah Seksyen 23(1) itu.

"Keadaan pertuduhan-pertuduhan di dalam kes kita amat berbeza dengan kes yang dirujuk oleh Muhyiddin iaitu kes yang diputuskan oleh mahkamah ini seperti kes Ahmad Hatta Kamaruzzaman lawan pendakwa raya," katanya.

Menurutnya, tiada perlanggaran hak terhadap Muhyiddin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

"Pemohon (Muhyiddin) berhak untuk menyediakan segala pembelaannya dalam kes ini. Seperti mana yang dihujahkan di atas cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukannya boleh dibuktikan melalui keterangan sewaktu perbicaraan penuh kelak dan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan.

"Perkara utama perlu dipertimbangkan adalah elemen atau inti pati di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai," katanya.

Sementara itu, dalam hujahan sama, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, Seksyen 23(1) Akta SPRM menyatakan ia satu kesalahan apabila mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk suapan dan bukan menyalahgunakan kuasa untuk suapan.

"Ini bukanlah suatu yang remeh kerana Muhyiddin mempunyai beban untuk menunjukkan kepada mahkamah ini kuasa yang wujud untuk membatalkan pertuduhan ke atasnya di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.

"Pihak Muhyiddin dengan itu perlu menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa adalah suatu kesalahan yang dikenali undang-undang. Jika ini gagal dilakukan oleh Muhyiddin, ia menjadikan permohonan di hadapan mahkamah sekarang ini satu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Media melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Bekas Perdana Menteri itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 2:10 PM