MOHD Yusof  dan Faridah bersama anak mereka, Nur Hana Humaira (dipangku Mohd Yusof) dan Nur Aisyah Humaira (dua dari kanan). Foto Mohamad Fahd Rahmat
MOHD Yusof dan Faridah bersama anak mereka, Nur Hana Humaira (dipangku Mohd Yusof) dan Nur Aisyah Humaira (dua dari kanan). Foto Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Dua beradik yang terpaksa 'ditidurkan' selepas kenderaan dinaiki bersama ibu bapa mereka dilanggar pemandu mabuk di kilometer 57 Jalan Batu Pahat-Mersing, Sabtu lalu, kini sudah sedar.

Mohd Yusof Othman, 34, berkata, anak bongsunya, Nur Hana Humaira yang berusia 17 bulan kini masih dipantau di wad kanak-kanak Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), manakala anak sulungnya, Nur Aisyah Humaira, 6, sudah dibenarkan keluar semalam.

"Anak sulung ada membuat panggilan video dan berdoa supaya saya dan 'mummy'nya (ibu) cepat sembuh. Dia tidak lagi menangis.

"Saya tak dapat lagi temui anak bongsu kami kerana saya dan isteri (Faridah Hassan, 37) sudah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Jalan Abdul Samad, Johor Bahru, semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam Sabtu lalu, kereta Toyota Vios dipandu Mohd Yusof dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara yang dipandu lelaki berusia 29 tahun sebelum kenderaannya melanggar pokok di lokasi kejadian.

Berikutan kemalangan itu, Nur Hana Humaira mengalami pendarahan otak selain cedera pada tulang pinggul, manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira, 6, turut mengalami pendarahan pada otak serta bengkak tulang rahang.

Mohd Yusof serta isterinya, Faridah yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Dengar di sini, turut cedera dan masih lagi menerima rawatan.

Bercerita lanjut, Mohd Yusof berkata, dia dan isteri dipindahkan ke hospital swasta kerana memiliki skim takaful perubatan, tambahan pula tiada pakar yang diperlukan di cawangan hospital di Kluang sebelum ini bagi rawatan susulan.

Katanya, dia tidak tahu bila akan dibenarkan keluar dari hospital kerana rusuknya patah dan memerlukan tempoh melebihi tujuh minggu untuk pulih.

"Pinggul kiri saya juga sudah 'lari' dari kedudukan asal dan sekiranya pulih, doktor mengatakan keadaannya tidak akan sama seperti sebelum ini.

"Isteri ditempatkan dalam wad yang sama dan dia mengalami patah bahu kanan," katanya sambil memberitahu anak sulung mereka dijaga ibu bapanya yang tinggal di Bandar Tenggara.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya akan merujuk kertas siasatan berhubung kes kemalangan berkenaan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sebelum menyerahkannya kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Berita berkaitan

Pemuda mabuk rempuh Vios, kanak-kanak, bayi parah [METROTV]

'Kedua-dua anak saya ditidurkan'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 3:02 PM