LIMA anak arwah memberi penghormatan terakhir kepada ibu mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cyber 10, Cyberjaya pada Khamis lalu.FOTO ihsan Facebook Mohd Ariff
LIMA anak arwah memberi penghormatan terakhir kepada ibu mereka yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cyber 10, Cyberjaya pada Khamis lalu.FOTO ihsan Facebook Mohd Ariff
SamadiAhmad


Putrajaya: Lima beradik dari Kota Perdana, Seri Kembangan menjadi yatim piatu dalam tempoh dua bulan selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Kisah sedih ini dikongsi oleh adik kepada ibu lima beradik itu, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, menyatakan, arwah kakaknya, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia Khamis lalu manakala abang iparnya, Mohd Nasir Tahal, 46, meninggal dunia dua bulan lebih awal selepas keduanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Menurut Mohd Ariff, kakaknya bertarung nyawa melawan wabak Covid-19 sejak 29 Julai lalu,manakala abang iparnya dimasukkan ke hospital seminggu lebih awal dan meninggal dunia pada 11 Ogos lalu.

Katanya, pada pertengahan Julai lalu keluarga kakaknya dijangkiti Covid-19, namun lima anak saudaranya menjalani kurantin di rumah.

"Kehilangan dua ahli keluarga secara serentak ini amat memilukan kami lebih-lebih lagi mengenangkan nasib lima beradik yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang.

"Arwah abang ipar dan kakak ditidurkan sebelum meninggal dunia kerana mengalami komplikasi.

"Lebih menyedihkan arwah kakak tidak tahu suaminya telah meninggal dunia kerana ketika itu dia masih dalam proses ditidurkan.

"Seminggu sebelum arwah kakak meninggal dunia dia telah mula sedar dan kami dapat berhubung dengan beliau melalui panggilan video.

"Ketika itu dia tidak boleh bercakap banyak dan hanya memberi isyarat bertanyakan suaminya, namun kami semua merahsiakan kerana tidak sanggup memberitahu perkara sebenar demi kesihatannya yang masih belum stabil."

"Saya lihat wajah kakak berubah sedih apabila kami tidak memberi maklum balas dan secara sendiri beliau memutuskan panggilan video," katanya.

Mohd Ariff yang bertugas di Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kuala Lumpur, berkata, panggilan itu adalah kali terakhir berhubung dengan kakaknya sebelum ditidurkan semula.

Katanya, kehilangan dua orang tersayang ini amat dirasai lebih-lebih lagi ibu bapa, Abd Razak Basiron, 67, dan Intan Sulaiman, 63,yang tidak dapat bertemu dengan kedua mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Arwah kakak dan abang ipar sangat prihatin dan mengambil berat terhadap ahli keluarga serta sering membantu sekiranya berhadapan kesusahan.

"Setakat ini ayah dan ibu yang tinggal di Bukit Tinggi, Klang telah berpindah di rumah arwah bagi menjaga lima cucunya di samping kami adik beradik datang membantu pada hujung minggu," katanya.

Ida Haryanie yang juga anak sulong dan surirumah, manakala Mohd Nasir yang mengusahkan perniagaan sebagai kontraktor.

Lima anak mereka adalah Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, 9; Muhammad Harraz, 7; Muhammad Hawwas, 6, dan Hannan Humaira, 3.

Jenazah pasangan ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi' Cyber 10, Cyberjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 12:05 PM