Redzuan Muharam


Gombak: "Boleh tak kita 'beli' ayah?" demikian pertanyaan spontan pernah diajukan Nur Hana Delisha Ahmad Ridhwan kepada ibunya, Nurhaida Mansor.

Menurut Nurhaida, 33, anak sulungnya yang berusia sembilan tahun dan mesra disapa Hana itu bertanya sedemikian kerana kurang mengerti punca bapanya, Ahmad Ridhwan Rozahi, 36, berjauhan dengannya.

Kisah Hana tular selepas Nurhaida memuat naik video di TikTok menunjukkan kanak-kanak itu menangis sebaik menonton video ucapan ulang tahun kelahiran daripada bapanya.

Turut dimuat naik adalah video Hana berpimpin tangan dengan Ahmad Ridhwan ketika menghantar bapanya ke lapangan terbang untuk pulang mencari rezeki di Labuan.

Bercerita lanjut, Nurhaida yang menetap di Taman Koperasi Polis, Batu Caves, di sini berkata, video reaksi Hana itu dirakam secara spontan untuk ditunjukkan kepada suaminya.

Katanya, rakaman itu pula dimuat naik di TikTok untuk suka-suka saja namun tidak menyangka perkongsiannya akan meraih tontonan ramai.

"Pada 4 Oktober lalu adalah hari ulang tahun kelahiran Hana jadi saya minta suami rakam video dan buat ucapan hari jadi untuk anak kami itu.

"Saya simpan rakaman video itu dan tunjukkan kepada Hana pada hari jadinya dan nampak dia sedih apabila terus menangis selepas menontonnya.

"Mulanya, saya muat naik video di Instagram (IG) Story kemudian barulah TikTok dan tak sangka pula akan keluar dalam FYP (For You Page) ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AHMAD Ridhwan dan isteri,  Nurhaida Mansor bersama dua anak mereka. FOTO Ihsan Nurhaida Mansor
AHMAD Ridhwan dan isteri, Nurhaida Mansor bersama dua anak mereka. FOTO Ihsan Nurhaida Mansor

Menurut Nurhaida, dia memang gemar merakam video anak termasuk yang bongsu, Nur Hasya Humaira, 6, tetapi tujuannya adalah untuk berkongsi dengan suami.

"Menerusinya, suami boleh tengok perkembangan anak-anak. Ini kerana kami tidak tinggal bersama dan sebelum berkahwin lagi, suami sudah kerja sebagai pelaut dengan kebanyakan masanya di atas kapal.

"Jadi, itu caranya kami berhubung dengan satu sama lain dan saya faham cuma Hana masih kecil jadi kurang mengerti walaupun dia sudah dibiasakan berjauhan dengan bapanya sejak kecil lagi," katanya.

Nurhaida berkata, Hana anak yang baik dan mendengar kata malah dia pernah menjelaskan kepada anaknya itu mengapa perlu berjauhan dengan bapa.

Bagaimanapun, Nurhaida faham yang Hana masih kecil dan mungkin hairan mengapa kerjaya bapanya tidak seperti orang lain.

"Lazimnya, suami akan bercuti untuk tempoh sebulan hingga dua bulan. Jadi, waktu cuti memang 24 jam suami bersama anak dan menguruskan mereka. Oleh kerana itu, hubungan Hana dan bapanya semakin rapat jadi ia menyebabkannya (Hana) sedih untuk berpisah.

"Cuma, Hana lebih sensitif dalam hal ini (berpisah dengan ayah) berbanding anak bongsu saya (Nur Hasya Humaira) yang sedih juga tetapi tidak tunjuk melalui ekspresi wajah seperti kakaknya.

"Walaupun boleh berhubung, bukan setiap masa suami dapat hubungi kami kerana ada ketikanya, dia (suami) sukar dapat akses Internet dan kali terakhir kami berhubung sekitar 29 atau 30 September lalu," katanya yang bekerja sebagai Setiausaha di sebuah syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:59 PM
TANGKAP layar Nur Hana Delisha menangis selepas menonton rakaman video ucapan ulang tahun  kelahiran daripada bapanya. FOTO Ihsan Nurhaida Mansor
TANGKAP layar Nur Hana Delisha menangis selepas menonton rakaman video ucapan ulang tahun kelahiran daripada bapanya. FOTO Ihsan Nurhaida Mansor