Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Satu lagi mayat seorang lelaki ditemukan di lokasi pencarian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, hari ini.

Pusat Pengurusan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan penemuan mayat lelaki itu di Sektor B (farm view), pada jam 11.16 pagi.

Ini menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini kepada 26 orang.

Mayat akan dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat.

Operasi SAR pada hari keenam masih diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh mangsa yang masih hilang.

Secara keseluruhan seramai 94 individu terbabit dalam insiden berkenaan dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan manakala 26 mangsa disahkan terkorban membabitkan 13 wanita dewasa, lima lelaki dewasa dan lapan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 12:05 PM