Raja Noraina Raja Rahim

Hulu Selangor: Kelegaan jelas terpancar di wajah pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, apabila mangsa korban terakhir dijumpai petang tadi.

Operasi pencarian dilakukan tanpa menghiraukan penat lelah selama sembilan hari sejak 16 Disember lalu bagi memastikan semua mangsa berjaya dijumpai dan diberi kepada waris masing-masing.

Operasi SAR itu membabitkan pelbagai agensi keselamatan utama iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Turut terbabit operasi adalah Unit Anjing Pengesan (K9), 11 jengkaut (excavator) dan dua alat pengesan 'Ground Penetrating Radar' (GPR).

Anjing pengesan milik JBPM yang berpengalaman iaitu Pop, Blake, Denti, Frankie, Lady dan Grouse turut memainkan peranan penting dalam penemuan mangsa.

ANTARA pasukan penyelamat yang terbabit dalam SAR di Pusat Kawalan Operasi tragedi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH
ANTARA pasukan penyelamat yang terbabit dalam SAR di Pusat Kawalan Operasi tragedi tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali. FOTO ASYRAF HAMZAH

Setiap pihak mempamerkan kerjasama dan usaha keras tanpa mengira waktu dan cuaca dalam kerja menyelamat dan pencarian mangsa yang terkorban.

Mayat kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 11 tahun itu ditemukan pasukan SAR di lokasi pencarian pada jam 4.53 petang.

Ini menjadikan seramai 31 orang disahkan terkorban manakala 61 mangsa berjaya diselamatkan dalam tragedi membabitkan 92 orang.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, operasi SAR bermula jam 7.30 pagi tadi dengan kekuatan 80 pegawai dan anggota pelbagai agensi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) serta jengkaut.

Beliau dilaporkan berkata, pencarian mangsa terakhir ditumpukan di Sektor A (Hill View) yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 6:17 PM