ROSSA berdoa supaya dikurniakan seseorang yang dapat membahagiakannya.
ROSSA berdoa supaya dikurniakan seseorang yang dapat membahagiakannya.
Syafil Syazwan Jefri


SEBUT saja nama penyanyi Indonesia, Datuk Rossa, perkara pertama yang terlintas di fikiran tentunya lagu romantis dendangan suara merdunya.

Sesekali, figura ini juga tampil dengan lagu 'galau' atau patah hati di samping turut popular menerusi lagu runut bunyi untuk beberapa filem dari negara jiran itu.

Terbaharu, Rossa hadir ke Malaysia dan menjayakan Konsert Rossa 25 Shining Years yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

Berkesempatan menemu bual penyanyi berusia 44 tahun ini, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani berkongsi mengenai doa dan harapannya untuk kehidupan serta kerjayanya.

"Doa saya, semoga saya selalu diberikan kesihatan yang baik dan karya muzik saya dapat dinikmati ramai orang.

"Dalam usia sekarang juga, saya ingin lebih banyak bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk membuat persembahan oleh banyak pihak," katanya.

Menurut penyanyi lagu Hati Yang Kau Sakiti itu lagi, dia berdoa supaya dikirimkan insan yang dapat membahagiakannya.

"Saya juga bersyukur

kerana dapat menikmati hidup dengan baik. Semoga dikirimkan orang yang baik yang dapat membahagiakan saya dan saya juga dapat membahagiakannya," katanya.

Sentiasa dilihat bertenaga, Rossa juga tidak menafikan bahawa ada ketikanya dia mulai penat sehingga terpaksa mendapatkan rawatan.

HAEL turut tampil membuat persembahan.
HAEL turut tampil membuat persembahan.

"Sebelum ini, saya pernah dikejarkan ke hospital kerana sakit. Doktor maklumkan bahawa saya terlalu letih dan diminta untuk banyakkan rehat.

"Rehat yang mencukupi juga penting untuk saya berikan persembahan terbaik semaksima mungkin," katanya.

Sebagai peminat drama Korea Selatan yang juga pernah menterjemahkan lagu popularnya dalam bahasa Korea, Rossa turut berkongsi aktivitinya setiap kali dapat berehat di rumah.

"Biasanya, saya jarang dapat masa untuk bercuti. Kali terakhir saya bercuti panjang adalah pada tahun lalu. Biasanya, kalau ada waktu senggang dan dapat bercuti pun, saya akan berehat di rumah, tak berganjak dari tempat tidur kecuali untuk mandi dan solat. Kemudian, saya menonton drama Korea seharian," katanya.

ROSSA berduet bersama Judika.
ROSSA berduet bersama Judika.

Sebagai artis luar yang kerap muncul di Malaysia untuk mengadakan konsert di sini, Rossa turut diminta memberikan pendapat mengenai luahan sesetengah penggiat seni tempatan, yang meminta supaya tumpuan lebih diberikan kepada artis tempatan.

"Itu perkara yang sangat wajar. Sejujurnya, saya sendiri tidak terasa hati dengan kenyataan itu kerana usia karier saya di Malaysia pun sudah menjangkau 20 tahun. Saya sendiri pun dah rasa seperti saya separa Malaysia.

"Berbalik kepada perkara yang dibincangkan, keutamaan perlu diberikan kepada artis tempatan. Pada pendapat saya, mungkin boleh banyakkan kerjasama antara artis tempatan dengan artis dari luar," katanya.

Di acara konsertnya yang berlangsung kelmarin, Rossa tampil mempersembahkan lagu popularnya di samping lagu baharunya, Sekali Ini Sahaja.

Sekali Ini Sahaja adalah lagu saduran yang pernah dipopularkan sahabatnya, mendiang Glenn Fredly, sekali gus mengimbau kenangan manis bersama sahabatnya itu.

Turut muncul di acara konsert itu adalah Judika yang tampil berduet bersama Rossa menerusi lagu Terlanjur Cinta dan adunan semula Hati Yang Kau Sakiti.

Selain Judika, artis jemputan dari Malaysia, Hael Husaini turut tampil berduet dengan Rossa menerusi lagu Kamu Yang Ku Tunggu.

Paling mengejutkan adalah kehadiran sahabatnya, Cakra Khan di samping Rossa melantunkan lagu popular Malaysia seperti Janji Manismu, Suci Dalam Debu dan Isabella.

Yang pasti, konsert ini tentunya akan meninggalkan kenangan manis bukan sahaja buat Rossa, tetapi juga setiap penonton yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 7:00 AM