ROSSA bersyukur penerimaan lagu Hati Yang Kau Sakiti kembali hebat walaupun dirakam dalam bahasa Korea
ROSSA bersyukur penerimaan lagu Hati Yang Kau Sakiti kembali hebat walaupun dirakam dalam bahasa Korea
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

WALAUPUN berasal dari tanah seberang, Indonesia, namun nama penyanyi Datuk Seri Rossa tidak lagi asing di negara ini.

Apatah lagi, lagu-lagunya cukup popular dan menjadi siulan ramai peminat Malaysia.

Ditambah, sikap ramah dan sentiasa mengukir senyum membuatkan Rossa begitu disenangi ramai, sekali gus diterima baik di sini.

Berpeluang menemu bual 'diva' muzik dari Indonesia ini menerusi aplikasi Zoom, Rossa yang popular menerusi lagu seperti Ayat Ayat Cinta, Tegar dan banyak lagi berkongsi rasa rindunya terhadap Malaysia.

"Sejujurnya, saya rasa sangat rindu dengan rakan-rakan di Malaysia. Doa saya adalah semoga krisis Covid-19 ini akan cepat selesai.

"Kemudian, saya dapat kembali ke Malaysia dan bertemu rakan-rakan serta peminat. Semoga doa yang baik ini dimakbulkan Allah," katanya.

Menjadi antara selebriti dari negara jiran yang kerap terbang dan membuat persembahan berskala besar di negara ini, Rossa kini giat mempromosikan lagu Hati Yang Kau Sakiti selepas dia merakamkan semula dalam bahasa Korea.

Menggunakan judul Sangcheo Badeun Maeum, Rossa sendiri tidak pernah menyangka bahawa lagu yang diterbitkan pada 2009 itu dapat dimuatkan dalam album studio keenamnya dan masih mendapat sambutan hangat meskipun sudah lebih sedekad.

"Saya sendiri terkejut dan amat bersyukur apabila melihat penerimaan untuk lagu itu kembali hebat walaupun selepas sedekad ia diterbitkan.

"Jadi, timbul pula idea untuk cuba merakamkan semula lagu ini (Hati Yang Kau Sakiti) dalam bahasa Korea memandangkan sepanjang tempoh pembatasan sosial berskala besar (PSBB), saya ada banyak masa terluang.

"Sekali lagi, tak sangka ia mendapat reaksi sangat positif bukan sahaja daripada kalangan YouTuber di Indonesia, tetapi sehingga ke Korea Selatan, termasuk ada juga yang menyanyikan semula (cover) lagu itu," katanya.

Menurut Rossa, daripada satu karya 'suka-suka', ia akhirnya diterbitkan semula secara lebih tersusun dan melalui proses rakaman di studio.

"Selalunya, proses rakaman yang pernah saya jalani untuk lagu-lagu sebelum ini memakan masa satu hingga dua jam.

"Tapi, untuk lagu ini masa rakaman dilakukan selama lima jam dan itu adalah tempoh paling lama dalam sejarah karier seni saya," katanya.

Apapun, demi tekad positifnya untuk kerjaya seni sendiri Rossa berjaya merealisasikan impian.

Malah, usaha murninya itu membuahkan hasil.

JIWAI sesuatu lagu dengan memahami lirik yang dinyanyikan.
JIWAI sesuatu lagu dengan memahami lirik yang dinyanyikan.

Nekad belajar bahasa Korea

Mengambil masa enam bulan untuk mendalami bahasa Korea, Rossa mengakui dia mengikuti kelas bahasa itu secara peribadi.

Rossa juga berkata, dia mewujudkan kumpulan WhatsApp khas yang membabitkan beberapa individu yang pandai berbahasa Korea untuk membantunya.

"Saya ada melantik seorang guru peribadi yang datang mengajar di rumah. Tetapi, apabila krisis Covid-19 melanda, proses pembelajaran di rumah terpaksa dihentikan.

"Selain itu, saya juga ada belajar sikit-sikit daripada drama Korea Selatan yang ditonton. Tapi, yang banyak membantu ialah selepas menubuhkan kumpulan WhatsApp berkenaan.

"Alhamdulilah, ada beberapa kenalan rapat saya yang boleh berbahasa Korea menyertai kumpulan WhatsApp itu termasuk rakan artis, Boy William," katanya.

Tambahnya, dia perlu belajar dan benar-benar memahami bahasa Korea itu kerana ingin menjiwai lagu ciptaan Enda Ungu ketika proses rakaman.

"Apa yang lebih penting untuk menjiwai sesuatu lagu adalah dengan memahami lirik yang dinyanyikan. Mujur saya banyak dibantu rakan-rakan yang boleh berbahasa Korea dengan baik.

"Walaupun ia bukan alih bahasa secara langsung (direct translation), tapi jalan cerita dalam lagu itu masih

perlu dikekalkan seperti lagu asal," katanya.

ROSSA (tengah) ketika muncul dalam satu program wawancara di Kuala Lumpur.
ROSSA (tengah) ketika muncul dalam satu program wawancara di Kuala Lumpur.

Sebagai peminat dan pengikut setia drama Korea, Rossa mengambil peluang itu untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mencurahkan idea dan menerbitkan karya hebat dari negara ternama itu.

"Drama Korea sangat indah. Terima kasih kepada mereka yang menghasilkannya kerana sepanjang pandemik ini, karya berkenaan menjadi peneman ramai orang.

"Karya seni drama dari Korea sangat bagus daripada pelbagai sudut, merangkumi sinematografi, jalan cerita dan pengajaran yang diselitkan," katanya.

Tidak hanya dirakam semula dalam bahasa Korea, lagu Hati Yang Kah Sakiti turut dialih bahasa oleh peminatnya dalam bahasa Mandarin.

"Ada juga yang mengalih bahasa lagu saya ini dalam bahasa Mandarin. Mudah-mudahan, ada rezeki untuk saya rakamkan semula dan diterima baik juga," katanya.

Sehubungan itu, video lirik Sangcheo Badeun Maeum yang dilancarkan sejak seminggu lalu kini mencatat lebih 539,000 tontonan di YouTube dan rata-rata pelayar platform digital berkenaan menantikan video muzik rasmi lagu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:00 AM