PENONTON yang hadir mengikut tema berpakaian sekolah.
PENONTON yang hadir mengikut tema berpakaian sekolah.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Perasaan nostalgia tercetus di Konsert Ada Apa Dengan Melly? (AADM) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam tadi apabila kebanyakan peminat menyahut seruan penyanyi terbabit dengan hadir mengikut tema berpakaian sekolah.

   Barisan artis yang hadir antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy dan Datin Norhasniza, pasangan suami isteri Fatah Amin dan Fazura, pasangan kekasih Syafik Kyle dan Mimi Lana serta ramai lagi turut hadir mengikut tema yang ditetapkan. 

   Konsert ini juga dihadiri oleh tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman yang turun mencemar duli menonton. 

TUNKU Azizah bertanya khabar dengan Rossa.
TUNKU Azizah bertanya khabar dengan Rossa.

   Bahkan lebih menarik, Tengku Permaisuri Norashikin juga 'sporting' hadir dengan berpakaian sekolah.

  Tidak ketinggalan Melly mendapat sokongan rakan-rakan artis Indonesia yang turun menyaksikan konsertnya antaranya Datuk Seri Rossa, Raffi Ahmad, Chintami Atmanegara dan Lis Dahlia.

   Mereka turut disertai oleh peminat-peminat dari Indonesia yang sanggup mengeluarkan kos terbang menonton konsert di Kuala Lumpur ini. 

   Melly yang sudah 10 tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur menghiburkan peminatnya dengan menyampaikan sebanyak 28 lagu yang mengundang nostalgia buat penonton.

  Mereka turut sama menyanyi bersama Melly terutamanya apabila dia menyampaikan rangkaian lagu-lagu dari filem popular Ada Apa Dengan Cinta (AADC) seperti Denting, Tentang Seseorang, Ada Apa Dengan Cinta dan Ku Bahagia.

   Tidak ketinggalan Melly juga menyampaikan lagu Jika yang memperkenalkan namanya kepada peminat Malaysia serta lagu ciptaannya untuk penyanyi lain iaitu Pencinta Wanita (nyanyian asal Irwansyah), Berdua Lebih Baik (Acha Septriasa), Ayat-Ayat Cinta (Rossa) dan Menghitung Hari (Krisdayanti).

   Melly akan tampil dengan persembahan kedua konsert AADM di lokasi sama malam ini.

MELLY dengan fesyen uniknya. FOTO Ihsan Bangsawan Pictures
MELLY dengan fesyen uniknya. FOTO Ihsan Bangsawan Pictures

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:23 PM