Datuk Seri Rossa. FOTO Asyraf Hamzah
Datuk Seri Rossa. FOTO Asyraf Hamzah
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa, 43, sanggup membelanjakan RM235,000 untuk membeli busana pereka fesyen ternama antarabangsa, Iris Van Herpen untuk digayakan pada Konsert Rossa 25 Shining Years.

Konsert yang sudah berlangsung sejak Mei lalu itu, turut menjelajah beberapa kota besar di Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Medan, Surabaya, Lampong dan Palembang termasuk Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada 2 November depan.

Rossa berkata dia sanggup membeli sendiri busana rekaan Iris itu kerana sangat cantik dan sentuhan pereka fesyen berkenaan amat terkenal pada kalangan selebriti dunia seperti Lady Gaga, Jennifer Lopez, Cardi B, Katy Perry dan ramai lagi.

"Syukur Alhamdulillah, saya amat gembira dapat menggayakan baju itu yang dibawa terus dari Milan, Itali oleh pengurus saya, Intan untuk Konsert Rossa 25 Shining Years. Malah, saya akan menggayakannya pada konsert di Kuala Lumpur juga.

"Walaupun harganya mahal ASD50,000 (RM235,000), saya sanggup beli sendiri kerana memang suka dengan sentuhan Iris yang elegan. Itu pun, saya lebih dulu mengirim profil diri kepadanya sebelum dia bersetuju untuk buatkan baju.

"Kini, saya akan manfaatkan baju yang dibeli dari jauh-jauh itu dalam persembahan konsert saya. Bahkan, saya tidak kisah jika sering mengulang pakai baju itu dalam persembahan kerana bertepatan harganya yang mahal. Saya tak ingin ia jadi simpanan saja," katanya.

Terdahulu, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani ditemui pada sidang media Konsert Rossa 25 Shining Years dengan usaha sama Yayasan Prihatin Nasional, baru-baru ini.

Pada konsert di Dewan Plenary KLCC itu, Rossa juga mengundang penyanyi tanah air, Hael Husaini dan membawa penyanyi Indonesia, Judika sebagai bintang udangannya yang akan turut membuat persembahan bersama.

Rossa berkata dia memilih Hael kerana kagum dengan bakat nyanyian dan penciptaan lagu penyanyi lagu Jampi itu.

Katanya, dia juga teruja untuk menyanyi duet dengan Hael, termasuk sedia mendapat lagu baharu daripada Hael.

Hingga kini, tiket Konsert Rossa 25 Shining Years sudah habis terjual sebanyak 80 peratus, yang mana harga tiket paling mahal iaitu RM5,000 dengan 15 tempat duduk juga sudah habis dijual. Dewan Plenary boleh memuatkan 2,800 penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 5:16 PM