RAKAM semula lagu Sekali Ini Saja sebagai penghargaan buat Gleen Fredly.
RAKAM semula lagu Sekali Ini Saja sebagai penghargaan buat Gleen Fredly.
Syafil Syazwan Jefri


Kehadiran penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa ke Malaysia bukan lagi perkara baharu memandangkan Malaysia umpama sudah menjadi rumah kedua buatnya.

Menjelang 2 November depan, Rossa sekali lagi bakal 'pulang kampung' ke Kuala Lumpur bagi menjayakan Konsert Rossa 25 Shining Years In Malaysia, yang akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kehadiran itu nampaknya akan turut diiringi jiwa dan semangat daripada sahabatnya yang juga penyanyi dari tanah Jawa, Glenn Fredly, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2020.

"Kami kerap berduet bersama dan dapat saya katakan, Glenn adalah sahabat yang sangat baik. Sehingga kini, kerinduan kepada Glenn masih menebal," katanya.

Menahan sebak saat sidang media secara virtual berlangsung, Rossa menjawab pertanyaan Harian Metro dengan berkongsi pengalaman dan ingatannya mengenai sahabat kesayangannya itu.

"Karier seni kami bermula lebih kurang pada waktu yang hampir sama. Pemergiannya umpama satu pukulan hebat bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada semua yang mengenalinya.

"Kali terakhir kami sempat bertemu adalah beberapa bulan sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.

Sebelum ini, tular di beberapa platform media sosial, sepotong video di mana Rossa menitiskan air mata di acara Konsert Rossa 25 Shining Years yang berlangsung di Bandung, Indonesia.

Dalam video itu, Rossa yang sedang membuat persembahan lagu Sekali Ini Saja kelihatan tergamam apabila muzik terhenti dan beberapa detik kemudian, kedengaran suara Glenn menyanyikan lagu itu.

"Ini adalah kejutan daripada band yang mengiringi saya. Ketika mempersembahkan lagu Sekali Ini Saja yang mana, lagu popular Glenn, muzik tiba-tiba berhenti.

"Kemudian, dimainkan nyanyian Glenn, menyanyikan lagu sama. Saya jadi tergamam dan umpama terlupa bahawa sahabat saya itu sudah tidak ada lagi.

ROSSA bakal menghangatkan pentas konsert Rossa 25 Shining Years in Malaysia.
ROSSA bakal menghangatkan pentas konsert Rossa 25 Shining Years in Malaysia.

"Saya mencari-cari dan melihat sekeliling. Di mana Glenn. Saya terlupa dan tanpa saya sedari, air mata saya tumpah dengan sendiri," katanya.

Rossa bagaimanapun berjaya melengkapkan persembahan itu dan mendapat tepukan gemuruh penonton yang tersentuh.

Di acara konsert yang bakal berlangsung di Malaysia juga, Rossa bakal mempersembahkan lagu itu sebagai tanda penghargaan buat sahabatnya.

"Saya merakamkan semula lagu Sekali Ini Saja sebagai tanda penghargaan atas persahabatan kami. Di konsert nanti, saya akan persembahkan juga lagu ini..

"Saya dedikasikan lagu ini untuknya dan berharap agar legasi seninya akan terus mekar dan bersinar walaupun dia sudah tidak ada lagi," katanya.

Kehangatan Konsert Rossa 25 Shining Years In Kuala Lumpur bukan sahaja dirasakan Rossa, bahkan peminat dan netizen yang menunggu akan kehadirannya.

Namun, turut menjadi pertanyaan adalah harga tiket yang bermula dari RM218 sehingga mencecah RM5,000, yang mana, boleh dianggap sangat mahal.

Menurutnya, semuanya sudah diatur dengan baik oleh penganjur yang mana, turut menyalurkan sumbangan kepada badan amal.

"Harga tiket itu, saya serahkan kepada pihak penganjur. Saya yakin, semuanya sudah difikirkan oleh mereka.

"Selain konsert, turut diselitkan sumbangan amal. Jadi, pada masa sama, pembeli juga akan turut membantu kerja amal.

"Kalau kita lihat kategori lain yang harganya lebih murah, semuanya sudah terjual dengan habis.

"Mungkin, akan ada peluang lagi untuk adakan konsert lain di masa akan datang dengan harga lebih murah," katanya.

Tambahnya, dia berusaha untuk memberikan persembahan terbaik dan diingati oleh peminatnya.

"Saya selalu berdoa supaya dapat berikan persembahan terbaik, sesuai dengan harga tiket yang dijual. Insya-Allah.

"Yang pernah datang ke konsert saya sebelum ini pun, kebanyakannya akan datang lagi setiap kali saya adakan konsert.

"Sokongan sebeginilah yang membakar semangat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 6:00 AM