MUSA, gambar fail. FOTO NSTP
MUSA, gambar fail. FOTO NSTP
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa diwujudkan satu akta baharu yang menyeluruh dalam usaha membanteras sindiket penipuan atau scam.

Penasihat MHO Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah itu dapat menambah baik undang-undang sedia ada yang mempunyai kelompongan sehingga dieksploitasi oleh pihak sindiket.

"Negara kita sememangnya mempunyai undang-undang berkaitan penipuan atau scammer ini namun masih ada kelompongan untuk sampai ke orang ramai atau mangsa.

"Sebagai contoh dalam sesuatu kes penipuan ia membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan bentuk penipuan yang berlaku ini membabitkan pelbagai elemen," katanya dalam sidang media bersama mangsa-mangsa penipuan pelaburan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes penipuan tidak boleh diletakkan atas bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata kerana penguatkuasaan memerlukan kerjasama setiap agensi berkaitan.

"Ini kerana polis akan menyiasat kes penipuan pelaburan yang dilaporkan namun pada masa sama agensi lain juga boleh mengambil tindakan pantas menyekat sesebuah syarikat pelaburan atau akaun mereka.

"Justeru apabila sesuatu akta berkaitan tindakan penipuan pelaburan dan scammer ini dapat diwujudkan oleh kerajaan dalam Parlimen maka sesuatu tindakan akan mudah diambil.

"Ini termasuk membekukan akaun dan aset-aset mana-mana syarikat yang terbabit dengan scammer secara lebih pantas sekali gus memberi ketakutan kepada mereka yang ingin melakukan penipuan," katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kegiatan sindiket penipuan pelaburan sudah semakin berkembang di negara ini.

"Saya merayu kepada kerajaan Malaysia bahawa sindiket penipuan atau scammer ini sudah semakin berkembang selepas wujud sekian lama di Malaysia.

"Justeru saya meminta bantuan daripada kerajaan untuk segera mewujudkan akta baru khusus untuk menangani masalah sindiket penipuan pelaburan ini atau apa juga bentuk sindiket berkaitan.

"Sama seperti undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), undang-undang yang hampir sama khusus untuk sindiket penipuan pelaburan ini juga harus ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:45 PM