GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Terlalu mempercayai tawaran luar biasa, pulangan pelaburan lumayan dan janji manis.

Itu antara faktor ramai mangsa sering terjerat dalam jenayah penipuan dalam talian sehingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit hingga jutaan ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM) Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, mangsa mudah ditipu kerana mereka mempunyai sifat keterbukaan, sikap kawal kendiri yang rendah serta sering mencari jalan mudah untuk menyelesaikan sebarang masalah dihadapi.

Menurutnya, individu yang sering menjadi mangsa penipuan banyak menghabiskan masa menggunakan media sosial dan Internet.

"Kebarangkalian untuk scammer terus berleluasa juga tinggi berikutan golongan sasaran lebih besar di alam siber.

"Aktiviti penipuan boleh dilakukan dalam masa serentak atau singkat.

"Sudah menjadi kelaziman kepada scammer ini untuk berpura-pura mesra, bersimpati dan keinginan seperti mahu membantu sedangkan itu adalah skrip mereka," katanya.

Dr Amirudin berkata, scammer ini akan menggunakan pelbagai taktik antaranya bercerita soal kesedihan, badan amal yang memerlukan bantuan selain menggunakan dokumen serta gambar palsu.

"Kebanyakan golongan warga emas ini yang sudah selesa dengan kehidupan dan mempunyai wang simpanan mencukupi terdorong untuk membantu orang lain (scammer).

"Mereka juga mudah untuk tersentuh dengan cerita-cerita sedih jadi terperangkap dengan skrip rekaan sindiket penipuan ini," katanya.

Usia muda tapi mudah tertipu!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:31 AM