AARON-WOOI YIK mara ke pentas akhir Kejohanan Dunia. FOTO EPA
AARON-WOOI YIK mara ke pentas akhir Kejohanan Dunia. FOTO EPA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan badi tewas di separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia apabila mara ke pentas final edisi ke-27 yang berlangsung di Tokyo, Jepun itu.

Mereka menewaskan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 20-22, 21-18, 21-16.

Pada set pertama yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo sebentar tadi, kedua-dua pasukan saling bertukar mata sebelum kemenangan berpihak kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 22-20 di set pertama.

Begitupun Aaron-Wooi Yik yang meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bangkit mendahului set kedua sebelum meraih kemenangan 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Debaran terus dirasai pada set penentuan namun keazaman tinggi dipamerkan Aaron-Wooi Yik membolehkan mereka meraih kemenangan 21-16 dalam pertembungan separuh akhir yang berlangsung selama 1 jam 17 minit itu.

Kemenangan itu juga menyaksikan, Aaron-Wooi Yik berjaya menamatkan badi terkandas di pusingan separuh akhir sekali gus menjadi pentas final kedua buat mereka bagi musim ini selepas Kejohanan Badminton Asia (BAC).

"Saya fikir pada set ketiga, ada sedikit gementar tetapi kami tetap memberi tumpuan dari satu mata ke satu mata dan sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain.

"Bagi saya, ini adalah kekuatan yang membolehkan kami meraih kemenangan hari ini," kata Aaron.

Sementara itu, Wooi Yik turut gembira dengan prestasi yang dipamerkan hari ini yang secara tidak langsung menamatkan badi kekalahan di separuh akhir.

"Perlawanan yang berbeza daripada sebelum ini. Namun ini adalah separuh akhir dan kami perlu memecahkan badi di separuh akhir (sebelum ini).

"Untuk hari ini, kami berjaya memberikan tumpuan pada diri kami dan tentunya saya gembira," katanya.

Pada aksi final esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pilihan ketiga dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan yang menewaskan rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 23-21, 12-21, 21-16 dalam satu lagi saingan separuh akhir sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 1:17 PM