AARON (kanan) dan Wooi Yik tersungkur di suku akhir. FOTO AFP
AARON (kanan) dan Wooi Yik tersungkur di suku akhir. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Langkah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti di suku akhir Terbuka Perancis selepas tewas kepada juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle, Paris itu, Aaron-Wooi Yik cuba memberi tentangan namun terpaksa akur apabila tewas 19-21, 16-21 dalam perlawanan yang berlangsung 43 minit itu.

Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mencatat kekalahan ketiga dalam empat pertemuan menentang Min Hyuk-Seung Jae dengan aksi terakhir pada Terbuka Malaysia Januari lalu turut memihak beregu Korea itu.

Tewasnya Aaron-Wooi Yik itu sekali gus menamatkan cabaran kem badminton Malaysia pada Jelajah Dunia Super 750 selepas beberapa lagi wakil negara tewas di pusingan awal.

Min Hyuk-Seung Jae dijadualkan berdepan sama ada pemenang di antara beregu nombor satu dunia dari India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy ataupun beregu Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren yang akan beraksi sebentar lagi.

Aaron-Wooi Yik boleh dianggap menampilkan memberangsangkan sepanjang saingan musim ini apabila dua kali melangkah ke suku akhir pada Terbuka Malaysia dan Terbuka Perancis selain mara ke separuh akhir Terbuka India.

Juara dunia itu bagaimanapun boleh menebus kekecewaan mereka di Terbuka Perancis apabila turun di kejohanan Seluruh England bermula Selasa ini ini namun mereka dijadualkan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani seawal pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 8:32 PM