AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi cemerlang. FOTO Badminton Photo
AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi cemerlang. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik berjaya mara ke final Terbuka Indonesia selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan sebentar tadi di Istora Senayan.

Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan Jakarta, pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu bagaimanapun bermula kurang baik apabila tewas set pertama 12-21.

Kemenangan yang diraih pasangan Indonesia itu nyata memberi semangat buat mereka apabila satu ketika berada di mata akhir untuk menamatkan perlawanan menerusi keputusan straight set.

Bagaimanapun Aaron-Wooi Yik berjaya mempamerkan aksi yang baik untuk menafikan kemenangan gandingan Indonesia itu apabila menang set kedua 23-21, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set ketiga, permainan serba tidak menjadi ditampilkan pasangan tuan rumah, sekali gus memberi kelebihan buat beregu negara untuk meraih kemenangan 21-13 dalam aksi yang memakan masa 57 minit.

Untuk rekod ini adalah final kedua buat pasangan negara selepas berjaya mara ke perlawanan akhir di Kejohanan Terbuka India Januari lalu.

Menanti Aaron-Wooi Yik di final esok adalah wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang berjaya menewaskan gandingan Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung pada sebelah petang.

Gandingan yang berada di ranking keenam dunia itu bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum memenangi perlawanan itu dalam aksi rubber set 17-21, 21-19, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 10:56 PM