AKSI Zii Jia ketika menentang Shesar. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Shesar. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas mengalahkan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Zii Jia yang juga pilihan ketiga kejohanan mencatat kemenangan straight set, 21-14, 22-20 dan akan berdepan Kanta Tsuneyama dari Jepun esok. Turut mara beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengalahkan wakil Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Andy Kwek 21-16, 21-19.

Aaron-Wooi Yik akan menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India di suku akhir. Beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga berjaya mara selepas mengetepikan pasangan India, Ishaan Bhatnagar-Tanisha Crasto 21-18, 21-18.

Mereka yang juga pilihan ketujuh akan berdepan jaguh Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menempah tempat ke slot suku akhir apabila mengalahkan gandingan Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 21-13, 23-21.

Bagaimanapun, beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal untuk mara ke suku akhir selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 8:25 PM