INDERJEET Kaur. FOTO Agensi
INDERJEET Kaur. FOTO Agensi
Agensi

London: Ketamakan seorang wanita di United Kingdom (UK) yang menduduki ujian memandu untuk individu lain membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan.

Hukuman itu dikenakan terhadap Inderjeet Kaur, 29, dari Llanelli, Carmarthenshire, yang didapati menduduki kira-kira 150 ujian teori dan amali untuk pemandu lain.

Wanita berasal dari Llanelli, Carmarthenshire itu mengaku melakukan kesalahan berkenaan, antara 2018 dan 2020.

Menurut polis, Inderjeet menduduki ujian untuk mereka yang mempunyai masalah atau kesukaran berhubung penguasaan bahasa Inggeris.

Mahkamah Crown Swansea diberitahu Kaur melakukannya dengan menyamar sebagai orang lain ketika menduduki ujian di pusat latihan.

Polis juga menerima maklumat mengenai salah laku wanita itu.

Inderjeet melakukan perbuatan itu di Swansea, Carmarthen, Birmingham, dan bandar ini.

Dalam pada itu, jurucakap polis, Inspektor Steven Maloney berkata, perbuatan Inderjeet didorong oleh ketamakannya.

"Penipuan seperti ini menimbulkan risiko besar kepada orang awam," katanya.

Caroline Hicks dari Agensi Piawaian Pemandu dan Kenderaan berkata, lesen memandu yang diperoleh secara penipuan boleh dibatalkan.

"Ujian memandu dan teori bertujuan membantu memastikan orang ramai mempunyai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang betul untuk memandu di jalan raya.

"Bagaimanapun, tindakan mengelak daripada menduduki ujian itu meletakkan nyawa (individu) dalam bahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:00 AM