Jemaah haji kembali ke Mina untuk melontar jamrah. FOTO AFP
Jemaah haji kembali ke Mina untuk melontar jamrah. FOTO AFP
Agensi

Arafah: Kira-kira sejuta jemaah haji mula bergerak kembali ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir ibadat haji selepas berkumpul dan mendengar khutbah Arafah, semalam.

Beberapa minit selepas matahari terbenam, jemaah mula bergerak ke dataran terbuka Muzdalifah yang berbatu di mana mereka akan menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Mereka juga mengutip batu kerikil untuk ibadat merejam syaitan di Jamrat Al-Aqabah semalam iaitu hari pertama Aidiladha dan hari ke-10 Zulhijah.

Tiga hari berikutnya iaitu Ahad, Isnin dan Selasa adalah hari Tasyriq, di mana jemaah haji akan melempar tujuh batu ke atas setiap Jamarat kecil, sederhana dan besar.

Ambulans mengiringi rombongan bas yang dalam perjalanan ke Muzdalifah, manakala rondaan keselamatan menguatkuasakan jarak antara kenderaan untuk memastikan aliran trafik yang lancar.

Beberapa jemaah haji berjalan kaki melalui laluan pejalan kaki sepanjang 25 kilometer (km) yang menghubungkan Arafah dengan Mina melalui Muzdalifah, yang terpanjang seumpamanya di dunia.

Protokol kesihatan turut diperketatkan pada musim haji kali ini susulan ancaman Covid-19 masih serius dan pihak berkuasa Arab Saudi memperketatkan kawalan bagi membendung penularan.

Sementara itu, sebahagian besar negara Arab dan Islam termasuk Arab Saudi menyambut Aidiladha semalam.

Manakala, negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura menyambut Aidiladha hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:30 AM