ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menahan lima individu termasuk pemilik agensi pelancongan, semalam, yang dipercayai terbabit insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, kira-kira 9 malam tadi.

"Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

"Ketika ini, kami sedang mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ashari berkata, 23 laporan polis diterima di seluruh Kuala Lumpur berhubung kes terbabit.

"23 laporan itu dilaporkan di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi membabitkan kerugian berjumlah RM760,000.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di Sepang.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 1:13 PM