LAPORAN sebelum ini.
LAPORAN sebelum ini.
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Agensi pelancongan tidak boleh memberi 'janji manis' atau menetapkan tarikh penerbangan dan jadual perjalanan awal kepada rakyat Malaysia yang mahu mengerjakan haji menggunakan visa furada.

Sumber industri pelancongan berkata, selagi tiada visa dikeluarkan oleh pihak Arab Saudi, tiada syarikat pelancongan yang berani membeli tiket penerbangan untuk bakal jemaah haji mereka.

Katanya, ini disebabkan visa furada boleh diibaratkan sebagai berlian yang terlalu bernilai tinggi dan hanya individu bernasib baik terpilih mendapat peluang untuk menunaikan ibadah haji menggunakan visa berkenaan.

"Walaupun individu itu mempunyai sejumlah wang yang banyak atau menempah dengan lebih awal, tidak semestinya namanya akan terpilih untuk ke Tanah Suci.

"Ada orang yang mendaftar di saat akhir mendapat peluang mengerjakan haji sedangkan ada yang sudah lama mendaftar sejak awal pendaftaran dibuka, namun langsung tidak terpilih. Ia berbalik kepada rezeki dan inilah yang disebut sebagai panggilan Allah SWT," katanya.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, visa furada diuruskan syarikat pelancongan dan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji (TH).

"Agensi-agensi pelancongan itu sendiri tidak mengetahui berapa jumlah jemaah Malaysia yang boleh mendapat visa furada. Tiada kuota jemaah seperti dikeluarkan kepada TH.

"Sebagai contohnya terdapat 100 syarikat pelancongan yang memberi nama kepada Arab Saudi untuk visa furada dan proses pengeluaran visa adalah tertakluk di pihak negara itu.

"Kita (agensi pelancongan) tak boleh menjanjikan kepada jemaah yang mereka dapat mengerjakan haji pada tahun itu. Ada agensi pelancongan tidak mengutip deposit terlebih dulu dan ia ditawarkan kepada kenalan atau pelanggan yang benar-benar mampu saja.

"Apabila visa keluar, bayaran akan terus dibuat oleh pelanggan kepada agensi berkenaan untuk proses seterusnya seperti pembelian tiket penerbangan dan sebagainya. Kebiasaannya ia berlaku di saat akhir dan kemungkinan waktu berlepas juga dalam masa singkat iaitu sehari atau dua hari selepas visa dikeluarkan," katanya.

Ditanya mengenai bayaran mengerjakan ibadah haji menggunakan visa furada, sumber berkata, jumlah bayaran terlalu tinggi iaitu sekitar RM60,000 seorang berbanding menggunakan muassasah diuruskan TH.

"Jika ada bakal jemaah yang mengatakan mereka membayar RM20,000 ke RM30,000 seorang, ia adalah terlalu murah bagi visa furada lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 yang mana setiap kos meningkat di Arab Saudi susulan negara itu menaik taraf fasiliti.

"Perjalanan jemaah haji pemegang visa furada adalah berbeza dengan jemaah biasa, contohnya mereka tinggal di hotel semasa berada di Arafah berbanding jemaah biasa tinggal di khemah. Malah jarak hotel juga dekat dengan lokasi ibadah.

"Disebabkan itulah visa ini digelar berlian kerana keistimewaan diperoleh dan biasanya digunakan oleh VVIP (orang kenamaan)," katanya.

Sementara itu ditanya pula mengenai kejadian hampir 400 bakal jemaah haji visa furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, sumber enggan menuding jari sebaliknya mahu semua pihak memahami mengenai konsep visa furada dan bijak membuat keputusan memandangkan visa itu tidak dikawal oleh agensi pelancongan atau kerajaan Malaysia.

"Agensi pelancongan juga perlu menerangkan secara jelas kepada bakal jemaah masing-masing bagaimana visa itu dikeluarkan dan risikonya," katanya yang turut meragui nilai bayaran dibuat mangsa kepada syarikat pelancongan berkenaan selain jumlah bakal jemaah yang terlalu ramai menggunakan visa itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 3:08 PM