ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA, kelmarin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan insiden hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, direman selama tiga hari.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek berkenaan diserahkan oleh polis Kuala Lumpur kepada Polis Kontinjen Selangor, hari ini untuk siasatan lanjut.

"Semua suspek berkenaan direman selama tiga hari hingga 12 Julai ini untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan lima individu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dipetik berkata, dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara, kelmarin.

Katanya, lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit.

Khamis lalu, media melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya menerima 57 laporan membabitkan kerugian lebih RM2.3 juta di lapan negeri berkaitan dakwaan penipuan pakej haji oleh dua agensi pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 11:50 AM