Amir Abd Hamid


Sepang: Sehingga jam 4.30 pagi tadi, polis sudah menerima 17 laporan berkaitan insiden jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman ketika dihubungi berkata laporan berkaitan yang diterima adalah membabitkan dari beberapa balai termasuk IPD KLIA, Kajang, Setapak dan Temerloh oleh jemaah terhadap agensi pelancongan itu.

Setakat ini, katanya, tiada butiran tepat berapa jemaah haji yang terkandas tetapi dijangka lebih 300 orang.

"Kebanyakan jemaah sudah pulang selepas insiden malam tadi.

"Polis masih belum pasti insiden ini membabitkan 'scammer' atau sebaliknya dan kita sedang menjalankan siasatan dalam segala aspek.

"Kita siasat sama ada terdapat elemen yang membabitkan jenayah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Apa pun, beliau menasihatkan jemaah yang ingin menunaikan haji supaya memilih agensi pelancongan haji yang ada rekod bagus.

Sementara itu, katanya, dalam insiden semalam berlaku sedikit kecoh tetapi keadaan terkawal oleh anggota polis bertugas.

"Alhamdulillah kita dapat kawal keadaan memang kita faham perasaan, bayaran dibuat sehingga puluhan ribu.

"Last minute (saat akhir) tak dapat pergi... nak pergi haji pun boleh naik berang," katanya.

Selain itu, katanya, polis sudah menemubual pemilik agensi itu.

"Kita dah interview (temu bual) dia (pemilik) secara lisan semalam untuk dapatkan cerita. Temu bual dan rekod keterangan dua perkara berlainan. Ekoran daripada report (laporan) ini kita akan jalankan siasatan jika terdapat elemen menipu," katanya

Difahamkan, jemaah haji berkenaan dijanjikan penerbangan ke Jeddah, Mekah semalam pada Khamis.

Semalam, mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Sementara itu, laporan media melaporkan di Makkah hampir semua jemaah dari seluruh dunia sudah berada di Tanah Suci Makkah bagi melakukan ibadah haji dengan bersiap sedia untuk berwukuf di Arafah hari ini.

Ibadah haji terbesar sejak wabak Covid-19 bermula Rabu dengan ratusan ribu jemaah yang kebanyakannya tidak memakai pelitup muka dijangka memenuhi lokasi paling suci bagi umat Islam untuk menunaikan haji.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 1:29 PM
ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANGGOTA keselamatan KLIA membantu sebahagian bakal jemaah haji yang terkandas di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM