SEBAHAGIAN bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
SEBAHAGIAN bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima individu yang ditahan susulan insiden kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lalu, diserahkan semula kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi susulan tempoh reman terhadap lima individu berusia antara 30 hingga 60 tahun terbabit tamat, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi, mengesahkan perkara berkenaan.

"Semua suspek berkenaan akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut berhubung kes itu, petang ini.

"Permohonan reman terhadap mereka akan dibuat, esok," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan lima individu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah dilapor berkata, dua lelaki dan tiga wanita ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi di ibu negara, pada 8 Julai lalu.

Beliau dipetik berkata, lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit.

Minggu lalu, media melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada adalah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 3:02 PM