DINI memenangi trofi Artis Baharu MeleTOP di AME2021, baru-baru ini.
DINI memenangi trofi Artis Baharu MeleTOP di AME2021, baru-baru ini.
Norhayati Nordin


Baharu empat tahun terjun ke dunia lakonan, Dini Schatzmann kini bukan saja selesa, namun namanya juga semakin mendapat perhatian peminat drama tempatan hingga melayakkan dia memenangi anugerah dipertandingkan.

Dini berjaya meraih trofi Artis Baharu MeleTOP di Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021), baru-baru ini. Baginya, ia rezeki yang tidak diduga sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus mempersembahkan lakonan terbaik.

"Kemenangan ini adalah batu loncatan buat saya melakukan yang lebih baik dalam karier lakonan untuk terus maju. Saya akan bekerja lebih gigih lagi demi mencapai 'standard' tersendiri sebagai pelakon.

"Saya tahu perlu meningkatkan usaha yang tinggi untuk mengasah bakat lakonan diri kerana tidak semua pelakon memiliki bakat semula jadi. Seperti saya, bakat ini perlu diasah lagi untuk pergi lebih jauh," katanya.

Dini yang berdarah campuran Malaysia di sebelah ibu dan bapa dari Switzerland berkata, apa yang diraihnya dalam karier sekarang tidak mudah.

Katanya, pada awal dulu dia perlu mengikuti kelas Bahasa Melayu kerana tidak fasih dan tidak faham.

"Hasil usaha daripada kepayahan saya sebelum ini, nampaknya terbalas juga. Daripada tidak boleh bercakap dan faham Bahasa Melayu,

sekarang penguasaan saya semakin baik. Alhamdulillah, saya gembira dengan peningkatan ini.

"Ditambah dengan sokongan peminat, saya amat berterima kasih. Tidak sangka, kehadiran saya dalam industri diterima baik dan sokongan diberi mereka (peminat) juga amat padu," katanya.

Turut ditanya, apakah kejayaan itu mungkin bersangkut-paut dengan bantuan daripada kelab peminat kekasihnya, pelakon dan pengacara Janna Nick, pemuda berusia 27 tahun ini tidak menafikannya.

SALING menyokong, Dini dan Janna sentiasa beri galakan antara satu sama lain.
SALING menyokong, Dini dan Janna sentiasa beri galakan antara satu sama lain.

Katanya, Janna pun sudah lama aktif dalam karier seni dan memiliki 'fan base' yang ramai. Bahkan, kebanyakan peminat Janna memang 'sporting' dan bersikap terbuka dalam menyokong sama perjalanan karier seni Dini.

"Saya masih baharu di industri ini, tapi alhamdulillah dah ada peminat juga. Namun, tak dinafikan kelab peminat, Janna Nicker turut menyokong karier saya. Apatah lagi, di antara saya dan Janna, kami memang saling membantu.

"Janna sentiasa berikan saya galakan untuk lebih berjaya. Malah, kejayaan ini juga antara sokongan padunya terhadap saya. Apapun, saya mengharapkan lebih banyak mendapat peluang lagi untuk watak yang pelbagai," katanya.

Dini atau nama sebenarnya Dini Azan Schatzmann juga tidak melatah apabila kemenangannya itu dikaitkan dengan bantuan kelab peminat Janna.

Katanya, dia okey saja dan terpulang orang nak cakap apa kerana mulut manusia tak boleh ditutup.

Mengulas juga mengenai dirinya yang meledak dengan kisah cinta, Dini yang dikenali dengan drama Marry Me Senorita berkata dia lebih gemar mengambil pendekatan berterus-terang. Apatah lagi, dia sedar ia lumrah kehidupan selebriti.

"Saya okey saja menjawab apa yang ditanyakan media mengenai hubungan dengan Janna. Kami serius dan saya juga tahu kisah peribadi ini sedikit-sebanyak memang ingin diketahui peminat. Saya tak rimas langsung menjawabnya.

DINI sudah tiga tahun bercinta dengan Janna Nick.
DINI sudah tiga tahun bercinta dengan Janna Nick.

"Bagi saya, kalau orang tak nak tanya, itu yang akan rasa lain. Jadi, apabila saya ditanya mengenai perkara ini (cinta dan kahwin) memang okey kerana masing-masing ada hak untuk bertanya. Pada saya, tak ada apa yang salahnya pun," katanya.

Difahamkan hubungan cinta Dini dan Janna sudah mekar selama tiga tahun ini sejak terjalin pada Jun 2019 lalu. Malah, kedua-duanya juga sering berkongsi foto dan momen bahagia mereka di Instagram masing-masing.Tidak hanya itu, kisah cinta yang tiada rahsia ini begitu mendapat perhatian kebanyakan peminat yang mengikutinya dari awal. Rata-rata peminat pasangan 'merpati dua sejoli' ini juga mendoakan kebahagiaan mereka agar berakhir ke jenjang pelamin.

Berbicara juga perkembangan karier lakonannya, Dini bersyukur rezeki diterima tidak putus dengan watak yang sesuai. Katanya, sebagai pelakon dia sentiasa sedia mencuba watak-watak diberikan dengan baik dalam usaha menimba ilmu dan pengalaman-pengalaman baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 6:00 AM